Tujuh pekerja pembungkus ikan terlepas hukuman mati apabila dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari in

JOHOR BAHRU – Lapan pekerja pembungkus ikan terlepas hukuman mati apabila dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah jenis heroin kira-kira empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kesemua tertuduh.

Walau bagaimanapun, hanya tujuh tertuduh hadir di mahkamah, manakala seorang lagi, Wong Yit Liang, 54, telah meninggal dunia semasa dalam tahanan pada 31 Ogos tahun lalu.

Berdasarkan kertas pendakwaan, kesemua tertuduh, Woon Kim Foo, 43, Lee Kok Yeng, 41, Cheong Suan Nean, 45, Wong Yit Liang, 53, Tan Teck Joo, 50,  Gan Poh Guan, 40, Tay Choon Hua, 43, dan Cheng Tee Tee, 51 didakwa secara bersama-sama mengedar dadah jenis heroin seberat 11.8 kilogram di rumah nombor 29, Jalan Tuah 4, Taman Tuah, Pekan Nanas, Pontian pukul 8.30 pagi, 6 September 2021.

Mereka didakwa di bawah  Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan.

Selepas hakim membacakan keputusannya, kesemua tertuduh kelihatan gembira dan berpelukan sesama mereka.

Di luar mahkamah, mereka turut berpelukan dengan ahli keluarga yang hadiri mengikuti prosiding berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Nordiana Zubir, manakala empat tertuduh, iaitu Yit Liang, Poh Guan, Choon Hua dan Tee Tee diwakili peguam bela, Kamal Hisham Jaa’far.

Kim Foo, Kok Yeng,  Suan Nean dan Teck Joo pula diwakili peguam bela, R Segaran.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here