Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Hampir lima dekad berlalu, kos sara hidup berubah dan harga barangan meningkat tetapi elaun penerbangan petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih kekal RM30 seperti ditetapkan pada 1978.

Ahli Dewan Negara, Dr. Lingeshwaran mempersoalkan mengapa kadar tersebut tidak pernah disemak sedangkan nilai RM30 pada 1978 sudah jauh berbeza dengan nilai wang hari ini.

“RM30 pada 1978 boleh beli barang dapur seminggu. Hari ini, RM30 nak beli kopi di lapangan terbang pun tak lepas,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau berkata, berdasarkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dirujuk, RM30 pada 1978 sepatutnya bernilai kira-kira RM110 pada hari ini.

Ini bermakna terdapat perbezaan sekitar RM80 dari segi nilai wang selepas mengambil kira perubahan kos sara hidup sepanjang tempoh 48 tahun.

Dr. Lingeshwaran

“Persoalannya, bagaimana kadar yang ditetapkan hampir 50 tahun lalu masih boleh dianggap sesuai dengan keadaan hari ini?

“Ini bukan sekadar soal RM30, tetapi soal sama ada kebajikan petugas yang menjalankan tugas mencabar masih dinilai berdasarkan realiti semasa,” ujarnya.

Lingeshwaran yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Hospital Sungai Bakap berkata, petugas kesihatan terbabit bukan melakukan perjalanan udara untuk urusan biasa, sebaliknya menjalankan tanggungjawab memastikan perkhidmatan kesihatan sampai kepada penduduk di kawasan sukar diakses.

Antara yang terlibat termasuk pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat dan jururawat masyarakat yang menjalankan tugas melalui perkhidmatan kesihatan udara.

“Mereka pergi kerana tugas dan keperluan rakyat. Jadi ganjaran dan kebajikan yang diberikan juga perlu mengambil kira realiti tugas serta kos semasa,” jelasnya.

Beliau menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat semula kadar berkenaan dan mempertimbangkan pelarasan dalam Belanjawan 2027.

Katanya, kadar elaun yang tidak berubah sejak 1978 tidak lagi mencerminkan perubahan ekonomi dan peningkatan kos kehidupan yang dihadapi rakyat.

“Kalau kos hidup boleh berubah begitu banyak dalam tempoh 48 tahun, mengapa elaun ini masih RM30?

“Jangan tunggu petugas sudah terbeban atau hilang semangat baru kebajikan mereka diberi perhatian,” tegasnya.

Lingeshwaran berkata, semakan kadar itu juga penting sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan petugas kesihatan yang sanggup bertugas di lokasi sukar demi memastikan penduduk pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here