PUTRAJAYA – Malaysia sudah menyampaikan senarai aset yang boleh digunakan untuk membantu Indonesia menangani kebakaran dan jerebu, namun masih menunggu pengesahan serta kebenaran negara jiran itu bagi menggunakan aset berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sudah disampaikan menerusi Wisma Putra dan kedutaan Malaysia termasuk oleh agensi berkaitan yang menyediakan aset untuk tujuan bantuan.
“Setakat ini, kita telah panjangkan melalui kedutaan, Wisma Putra dan NRES (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam) dan NRES juga telah menyediakan (senarai aset), tetapi belum ada pengesahan dan kebenaran untuk menggunakan aset-aset Malaysia,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Fahmi yang merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian selepas ditanya mengenai status terkini jerebu serta kemungkinan Malaysia bekerjasama dengan Indonesia dalam menangani kebakaran yang menjadi antara punca pencemaran udara.
Menurut beliau, sehingga kini belum ada pengesahan mengenai bentuk kerjasama yang akan dilaksanakan termasuk penggunaan aset Malaysia bagi membantu memadam kebakaran.
Sementara itu Fahmi berkata, sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak pada tahun ini akan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) yang merupakan lokasi tertutup.
Katanya, sambutan berkenaan sememangnya dirancang dari awal untuk diadakan di dalam bangunan dan dijangka menarik kehadiran lebih 5,000 orang.
“Dalam mesyuarat yang telah diadakan pada Sabtu lalu bersama Datuk Seri Karim dari Negeri Sarawak, kami telah membincangkan untuk menyesuaikan beberapa program sisipan yang sepatutnya diadakan di beberapa bahagian di Sarawak.
“Program berkenaan akan diteruskan, tetapi mungkin kita akan melihat kesesuaian lokasi,” katanya.
Beliau memberi contoh pameran sempena sambutan Hari Malaysia di Kuching yang ditempatkan di Plaza Merdeka iaitu di kawasan dalam bangunan bagi membolehkan orang ramai melihat pameran tanpa perlu berada di kawasan terbuka dalam tempoh lama.
Fahmi berkata, pihaknya turut mengambil maklum mengenai keadaan jerebu di Sarawak ketika ini yang dilihat sedikit bertambah baik.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu masih bergantung kepada faktor cuaca serta kewujudan titik panas dan pembakaran terbuka, terutama yang berpunca dari negara jiran.
“Semua tertakluk kepada keadaan cuaca dan juga titik panas atau pembakaran terbuka, terutama dari negara jiran,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















