KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 serta RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat 25 sen seliter bagi tempoh 10 hingga 16 September 2026.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga RON97 meningkat daripada RM4.25 kepada RM4.50 seliter.

Harga RON95 tanpa subsidi pula naik daripada RM3.77 kepada RM4.02 seliter, manakala diesel tanpa subsidi meningkat daripada RM4.67 kepada RM4.92 seliter.

Menurut kementerian, kenaikan itu susulan peningkatan ketara harga minyak mentah dunia sepanjang tempoh pengiraan APM berikutan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang kembali meruncing serta peningkatan risiko gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz.

Katanya, harga minyak mentah Brent meningkat sepanjang tempoh berkenaan sebelum mencecah AS$97.31 setong pada Isnin.

Menurutnya, premium risiko geopolitik terhadap bekalan minyak dunia turut meningkat susulan serangan berbalas yang berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran.

Pada masa sama, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat apabila gangguan kapasiti penapisan di Asia Barat serta serangan berterusan terhadap loji penapisan Rusia mengurangkan bekalan petrol, diesel dan produk petroleum lain ke pasaran antarabangsa.

Kementerian berkata, harga diesel di pasaran antarabangsa turut meningkat lebih pantas berbanding minyak mentah berikutan kekangan kapasiti penapisan dan inventori yang semakin menyusut.

“Selepas 193 hari konflik di Asia Barat, aliran petroleum melalui Selat Hormuz dan kapasiti penapisan global masih belum kembali normal.

“Sekiranya keadaan ini berpanjangan, inventori yang semakin menyusut serta bekalan produk petroleum bertapis yang semakin ketat boleh meningkatkan premium risiko terhadap harga petrol dan diesel dunia,” katanya.

Bagaimanapun, kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global itu menerusi subsidi bersasar Budi Madani bagi pengguna yang layak.

Bagi penerima Budi Madani RON95 (BUDI95), harga yang dibayar kekal RM1.99 seliter, berbanding harga tanpa subsidi RM4.02 seliter.

Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.03 seliter, bersamaan 50 peratus daripada harga tanpa subsidi.

Sementara itu, penerima Budi Madani Diesel (BUDI Diesel) terus membayar RM2.10 seliter, berbanding harga diesel tanpa subsidi RM4.92 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM2.82 seliter atau 57 peratus daripada harga tanpa subsidi.

Harga bahan api bersubsidi lain turut dikekalkan, iaitu RM2.05 seliter bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan RM2.15 seliter bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

Mulai 1 September lalu, had kelayakan asas bulanan BUDI95 dan BUDI Diesel dinaikkan semula kepada 300 liter.

Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 400 liter sebulan.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, selain memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here