KUALA LUMPUR – Malaysia memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa dalam menangani kemudaratan dalam talian serta meningkatkan perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital.
Usaha itu dibincangkan menerusi Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Pengawal Selia (MRRM) bersempena M360 ASEAN 2026 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.
Mesyuarat berkenaan menghimpunkan pembuat dasar dan pengawal selia dari rantau ASEAN serta rakan pengawal selia antarabangsa bagi bertukar pengalaman dan pendekatan praktikal dalam menangani kemudaratan dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sifat kemudaratan dalam talian yang tidak mengenal sempadan memerlukan kerjasama lebih kukuh antara pengawal selia dan bidang kuasa.
“Melalui MRRM, kita mahu belajar daripada pengalaman pengawalseliaan yang berbeza, mengenal pasti pendekatan praktikal yang berkesan dan memperkukuh kerjasama untuk melindungi kanak-kanak dalam talian dengan lebih baik,” katanya.
Perbincangan turut menumpukan kepada usaha memperkukuh kebertanggungjawaban platform, meningkatkan kerjasama rentas bidang kuasa serta menangani risiko dalam talian terhadap kanak-kanak.
Rakan pengawal selia antarabangsa termasuk Pesuruhjaya eSafety Australia dan Ofcom United Kingdom turut berkongsi pendekatan terhadap pengawalseliaan keselamatan dalam talian, pengalaman pelaksanaan serta pengajaran daripada kerangka pengawalseliaan masing-masing.
Mesyuarat itu turut mengambil kira pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 oleh Malaysia serta komitmen serantau menerusi Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial Secara Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN.
Deklarasi berkenaan, antara lain menyeru kerjasama dan ketelusan lebih erat serta perkongsian amalan terbaik bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.
Fahmi berkata, kepelbagaian pendekatan dalam kalangan negara merupakan kekuatan, namun jurang dalam kawal selia tidak seharusnya membuka ruang kepada eksploitasi.
“Dengan penyelarasan lebih kukuh dalam prinsip kepercayaan digital, jaminan umur dan keselamatan dalam talian, kita lebih berupaya untuk bertindak secara bersama.
“Platform telah membina ruang digital ini dan mereka perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan penggunanya,” katanya.
Dalam pada itu, para peserta sebulat suara menegaskan komitmen untuk memastikan kanak-kanak mendapat manfaat daripada peluang digital selain menerima perlindungan lebih baik daripada risiko dalam talian termasuk jenayah siber, buli siber dan penyalahgunaan data peribadi.
Para perwakilan turut bersetuju ancaman dalam talian memerlukan penyelesaian rentas sempadan menerusi pendekatan menyeluruh yang menggabungkan kawal selia berkesan, literasi digital dalam kalangan ibu bapa yang lebih kukuh serta akauntabiliti platform.
Fahmi menambah, walaupun pendekatan pengawalseliaan berbeza antara negara, semua pihak berkongsi matlamat sama untuk membina persekitaran digital yang lebih selamat dan dipercayai.
“Perbincangan hari ini telah memperkukuh asas untuk meneruskan kerjasama dalam menangani cabaran yang tidak mampu ditangani oleh mana-mana negara secara bersendirian,” katanya.
MRRM akan terus menjadi platform kepada pembuat dasar dan pengawal selia untuk bertukar pengalaman, membincangkan isu baharu berkaitan keselamatan dalam talian dan kepercayaan digital serta meneroka bidang kerjasama praktikal di peringkat serantau dan antarabangsa. – MalaysiaGazette
















