Allahyarham Kapten Zainol Afiq pernah menerbangkan Anwar Ibrahim ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022. foto Threads amiruladnans

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi bapa Allahyarham Kapten Zainol Afiq, Bee Sham Ahmad, bagi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga atas kehilangan anggota keluarga mereka.

Dalam perbualan telefon hari ini, Perdana Menteri menyifatkan Zainol Afiq sebagai seorang yang sopan ketika memberikan perkhidmatan.

“Dia seorang yang sopan, salam ketika (saya) naik, salam ketika turun (helikopter). Doa bersama,” kata Perdana Menteri dalam perbualan itu yang disiarkan dalam laman FB beliau.

Dalam panggilan itu, Anwar berkongsikan jasa Allahyarham yang pernah bertanggungjawab menerbangkannya ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tatkala mengimbau kenangan sewaktu Allahyarham bertanggungjawab menerbangkan saya ketika kempen PRU15 lalu menjadikan saya sangat tersentuh dan mengesankan sanubari yang terdalam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Anwar, kehilangan itu amat berat untuk ditanggung, khususnya oleh keluarga dan anak-anak Allahyarham yang masih kecil.

“Saya titipkan doa agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada keluarga ini untuk terus melangkah menghadapi hari-hari mendatang.

“Lantaran itu, Kerajaan Madani akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain didukung dan diberi pembelaan sewajarnya,” katanya.

Anwar turut menzahirkan ingatan dan doa bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta keluarga kepada seluruh keluarga dan waris mangsa.

“Semoga Allah SWT mengasihani mereka, mengampun segala dosa mereka, melimpahkan rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan para syuhada.

“Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti mereka kepada negara. Al-Fatihah,” katanya.

Dalam pada itu, Bee Sham memberitahu Anwar keluarganya berhasrat membawa jenazah Allahyarham balik ke Negeri Sembilan dan Perdana Menteri menyatakan pihaknya akan membantu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here