KOTA BHARU – Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun maut dipercayai diserang seekor gajah ketika mencari lembunya yang hilang di kawasan Ladang Lepan Kabu, Kuala Krai, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada kira-kira 4 petang sebelum sepasukan anggota polis bersama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Angkatan Pertahanan Awam digerakkan ke lokasi.
“Pasukan terlebih dahulu memastikan kawasan berkenaan selamat sebelum mayat mangsa dibawa keluar dari lokasi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Penghulu Mukim Pahi Mohd Khairul Anuar Mohd Nor berkata mangsa, yang dikenali sebagai Ghazali Setapa dari Kampung Pahi, telah ke kawasan ladang berkenaan bersama dengan dua anaknya dan tiga rakan bagi mencari lembu hilang.
Beliau berkata, mereka kemudian berpecah untuk melakukan pencarian pada kira-kira 3 petang sebelum kumpulan yang diketuai rakan mangsa, dikenali sebagai Rasidi, ternampak seekor gajah.
“Seorang daripada mereka kemudian diarah memaklumkan kejadian itu kepada Perhilitan manakala kedudukan mangsa ketika itu tidak diketahui kumpulan berkenaan.
“Tidak lama selepas itu, mereka terdengar pekikan gajah dari kawasan yang tidak jauh dari lokasi pencarian sebelum pergi ke arah bunyi berkenaan dan menemukan mangsa dalam keadaan tidak bernyawa, dipercayai telah diserang mamalia berkenaan,” katanya.
Mohd Khairul Anuar berkata jenazah mangsa dihantar polis ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata, kawasan berkenaan pernah dimasuki gajah sebelum ini namun insiden terakhir dilaporkan berlaku kira-kira dua atau tiga tahun lepas.
Katanya, kawasan itu bukan habitat gajah dan haiwan berkenaan dipercayai mungkin tersesat. – BERNAMA
















