Gambar hiasan

Oleh Dr. Nor Nazrina Mohamad Nazry

DI Malaysia, sudah menjadi lazim bagi kita bahawa apabila pendidikan dibahaskan, kecemerlangan akademik harus diutamakan. Sering kali ibu bapa membicarakan keputusan peperiksaan anak-anak, para pelajar menghadiri kelas tambahan walaupun penat seharian di sekolah belum hilang, dan di peringkat tinggi pula, universiti secara berterusan
meningkatkan kualiti kurikulum bagi melahirkan para graduan yang berdaya saing tinggi.

Tidak ketinggalan juga, pendidikan dikenali sebagai indikator pergerakan sosial dan perkembangan sesebuah negara. Namun demikian, di sebalik keselesaan sistem pendidikan yang anak-anak kita nikmati, terdapat berjuta-juta anak di luar negara sana terkesan dengan pelbagai konflik. Mereka jarang sekali mengimpikan kecemerlangan akademik, cuma apa yang selalu mereka idamkan ialah peluang untuk belajar, satu perjuangan yang belum pasti ada kesudahannya.

Di sesetengah negara Timur Tengah dan Afrika Utara, konflik yang melanda negara mereka telah merencatkan sistem pendidikan pada skala yang besar. Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menganggarkan sekurang-kurangnya 30 juta anak di negara-negara terbabit tidak ke sekolah.

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) merumuskan lebih daripada 52 juta anak-anak mengalami gangguan pembelajaran yang  mana kebanyakan sekolah telah musnah dan ada sekolah yang dijadikan tempat perlindungan. Jumlah jutaan ini menunjukkan konflik yang sedang berlaku bukan sahaja memberi kesan kepada kemudahan infrastruktur, tetapi kepada sistem pendidikan, kesejahteraan emosi dan peluang pembelajaran jangka panjang.

Seperti yang kita maklum, pendidikan merupakan hak asas bagi setiap manusia. Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat menegaskan pendidikan merupakan tonggak utama kepada pembangunan potensi manusia. Kita pernah dengan satu ungkapan ini, dipopularkan oleh Malala Yousafzai, pemenang Hadiah Nobel termuda berasal dari Pakistan, iaitu, “satu anak, satu guru, satu buku dan satu pen boleh mengubah dunia”.

Ungkapan ini jelas menyokong bahawa pendidikan ialah instrumen perubahan yang jitu dalam sesebuah negara. Di samping itu, kajian para penyelidik dalam skop pendidikan dan kecemasan atau darurat, membuktikan bahawa aktiviti persekolahan menjadi pelindung kepada anak-anak di negara konflik di mana ianya dapat menyokong kestabilan psikologi
dan kekuatan daya tahan untuk menghadapi dan menyelesaikan krisis dalam hidup mereka.

Secara global, cabaran pendidikan masih lagi ketara. Inisiatif yang digelar The Education Cannot Wait, tabung global bagi pendidikan dalam situasi kecemasan, menganggarkan hampir 234 juta pelajar sekolah tinggal di kawasan yang terkesan oleh krisis, dan sekitar 85 juta anak tidak bersekolah. Tanpa akses berterusan kepada pendidikan, anak-anak ini mengalami pembangunan literasi yang rendah, peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik semakin tipis, dan tidak dapat menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan negara.

Lantaran itu, kepentingan pendidikan bukan sekadar menghabiskan kandungan silibus, tetapi juga menggambarkan kestabilan, perlindungan dan harapan. Di negara kita, perbincangan berkenaan kecemerlangan akademik selalu berpandukan kepada pencapaian dan penanda aras di peringkat global.

Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa 2022 (Programme for International Student Assessment, PISA) menunjukkan pelajar-pelajar Malaysia mencatatkan skor lebih bawah daripada purata OECD dalam matematik, membaca dan sains Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Dapatan ini telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan pakar tentang pembaharuan kurikulum, inovasi pedagogi, dan integrasi pembelajaran digital.

Walaupun penambahbaikan ini diperlukan, para pelajar masih memerlukan sistem persekolahan yang berstruktur, guru yang terlatih, dan persekitaran pembelajaran yang stabil. Ahli falsafah yang sangat popular dalam arena pendidikan, John Dewey, menyatakan bahawa pendidikan bukan sekadar persediaan untuk kehidupan masa depan, tetapi pendidikan itu sendiri ialah proses kehidupan. Sekolah merupakan platform bagi pembangunan intelektual, interaksi sosial dan pembentukan identiti setiap anak.

Selain itu, pakar ekonomi, Profesor Dr Amartya Sen memberitahu, setiap individu mempunyai kebolehan untuk meluaskan kebebasan mereka dan kebolehan ini dapat dipertingkatkan melalui pendidikan. Namun, apabila akses kepada pendidikan tergendala, diganggu dengan konflik, maka anak-anak akan kehilangan banyak peluang untuk membina potensi mereka sebelum memasuki alam dewasa yang penuh dengan rintangan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan pembangunan intelektual, spiritual, emosi dan fizikal secara holistik. Dalam konteks ini, kecemerlangan setiap anak Malaysia tidak boleh diukur hanya melalui pencapaian peperiksaan.

Malah, empati, kesedaran global dan tanggungjawab sosial perlu diambil kira sebagai komponen penting dalam pengukuran
kecemerlangan tersebut. Apabila para pelajar memahami bahawa akses kepada pendidikan tidak bersifat menyeluruh dan bukan setiap orang dapat menikmatinya, maka mereka akan berusaha lebih gigih sebagai tanda penghargaan atas peluang yang diberikan.

Sebenarnya, perbezaan antara persekitaran pembelajaran yang stabil dan terganggu memberi perspektif yang penting. Sementara anak-anak Malaysia sibuk dengan perancangan projek subjek tertentu dan pelbagai platform pembelajaran digital pada masa kini, berjuta-juta anak di luar sana sedang terumbang-ambing, mengharapkan dapat belajar semula di tengah pelbagai ketidakpastian.

Bagi anak-anak sebegini, keinginan mereka bukan untuk mencapai gred paling tinggi dalam akademik tetapi untuk mendapatkan peluang sekali lagi, peluang untuk duduk dalam bilik darjah dengan selamat, peluang untuk menulis, membaca dan mengira sekali lagi.

Jelaslah di sini, perjuangan dalam kecemerlangan akademik membawa maksud yang meluas. Erti yang sebenar ialah mengakui, mengiktiraf bahawa pendidikan itu ialah satu keistimewaan dan pada masa yang sama, ia juga satu tanggungjawab.

Apabila pelajar-pelajar menghargai nilai pendidikan, motivasi belajar boleh meningkat walaupun perlu mengharungi bermacam tekanan. Benarlah, kejayaan akademik bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi satu komitmen untuk menyumbang semula kepada masyarakat secara meluas, sama ada masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Pendidikan membentuk masa depan dan perkembangan kolektif setiap individu. Negara kita, Malaysia sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan, oleh itu, pengalaman anak-anak yang terkesan dengan konflik di luar sana mengingatkan kita bahawa capaian kepada pendidikan tidak boleh diambil mudah.

Sesungguhnya, kecemerlangan anak itu menjadi sangat bermakna apabila disusuli dengan kerendahan hati, rasa syukur atau rasa terima kasih, serta komitmen untuk mengaplikasikan ilmu dan menyumbang kepada orang lain.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here