KENINGAU – Program Mobiliti Pendidikan Antarabangsa GAJA! Korea 3.0 memperkukuh jaringan kerjasama hampir 10 tahun antara Kolej Vokasional Keningau (KV Keningau) dengan Seoul Technical High School (STHS), Korea Selatan, dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Program yang menggabungkan pemindahan pengetahuan TVET, pendidikan kewarganegaraan global dan pertukaran budaya itu berlangsung di Seoul dari 29 Ogos 2026 hingga 5 September 2026.
Penyertaan 13 pelajar serta lapan pendidik dan pegawai pengiring dalam program selama lapan hari itu turut melibatkan Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang.
GAJA! Korea 3.0 merupakan kesinambungan GAJA! Korea 1.0 pada 2019 dan GAJA! Korea 2.0 pada 2024, dengan tumpuan kepada pemindahan pengetahuan, pembelajaran bersama dan pertukaran budaya.
Jaringan yang terjalin hampir sedekad dengan STHS membolehkan kerjasama diteruskan melalui kelas dalam talian, pertemuan bersemuka dan projek bersama pelajar kedua-dua negara.
Program itu diselaraskan oleh Mohd Al Khalifa Mohd Affnan, guru Bahasa Inggeris KV Keningau.
Turut menyertai delegasi ialah Freadoline Fook Liew, Bibiana binti Paulus, Andy Jacob Goromong, Deassy Souza Peter dan Ronald James Ajis, serta Rafidah binti Zaini.
Antara pengisian utama ialah kelas bersama di STHS, lawatan bengkel, aktiviti amali, pembentangan projek serta pertukaran budaya dengan pelajar Korea Selatan.
Kelas bersama bertemakan “Smart Solutions for Better Living” itu merupakan kesinambungan pembelajaran dalam talian sebelum lawatan. Pelajar kedua-dua negara bekerjasama membentangkan cadangan penyelesaian bagi isu seperti pencegahan buli dan alam sekitar.
Peserta turut didedahkan kepada kemudahan latihan automotif, teknologi kenderaan elektrik serta asas pengawal logik boleh atur cara (PLC), sekali gus memberi peluang melihat aplikasi pengetahuan teknikal dalam persekitaran pembelajaran berbeza.
Selain itu, delegasi mengikuti pengisian Pendidikan Kewarganegaraan Global (GCED) di APCEIU, pusat pendidikan untuk persefahaman antarabangsa di bawah naungan UNESCO, bersama pelajar STHS.
Aktiviti berkenaan memberi tumpuan kepada keamanan, empati, pemikiran kritis dan sikap saling menghormati dalam masyarakat yang berbeza budaya.
Salah seorang peserta, Iris Sofea, menerusi catatan refleksinya, menyatakan lawatan ke jabatan pendidikan khas di STHS membuka pandangannya terhadap peranan pendidikan dalam membantu pelajar berdikari dan membina keyakinan.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengamalkan nilai empati, rasa hormat dan pemikiran kritis yang dipelajari sepanjang program dalam kehidupan seharian.
Di Seocho School of Cultural Arts and Information, peserta mengikuti aktiviti amali kulinari serta bakeri dan pastri dengan menyediakan burrito bulgogi dan madeleine lemon bersama pelajar tempatan.
Delegasi turut memperkenalkan warisan Sabah menerusi persembahan kisah Huminodun di institusi yang dikunjungi. Penglibatan itu memberi ruang kepada pelajar mengasah kemahiran komunikasi, kerjasama dan keyakinan untuk tampil di hadapan khalayak antarabangsa.
Peserta Aoudry Ann Thien pula berkata, persembahan Huminodun meningkatkan keyakinannya untuk berkongsi budaya Sabah di pentas antarabangsa. Beliau turut menghargai peranan di belakang tabir, termasuk menguruskan sistem audio dan persediaan persembahan, sebagai sumbangan penting kepada kejayaan pasukan.
Sementara itu, Sandra Elysa Saimon mencatatkan bagaimana penggunaan aplikasi terjemahan, gerak tubuh dan ekspresi wajah membantu peserta berkomunikasi serta membina persahabatan meskipun berdepan perbezaan bahasa.
Selain Iris, Aoudry dan Sandra, pelajar yang menyertai program ialah Muhammad Fadzrul Mohammad Pu’ad, Aishah Humaira Shamsul Haris, Luth Audi Irfiandi, Alley Alveela Kiflee @ Felix dan Steve Angel Chrles.
Turut serta ialah Zeneve Alista Michael, Abrane Isaac William, Putri Nurazween binti Dzulkarnain, Theoveron Tinggie Morris dan Muhammad Ariff bin Mohd Fahmi.
Kerjasama antarabangsa itu turut diperluas apabila Namwon Jeil High School akan mengunjungi KV Keningau pada Oktober 2026 bagi mengadakan International Culinary Exchange bersama kolej berkenaan.
Kunjungan tersebut menjadi susulan pertemuan wakil KV Keningau dengan pihak sekolah itu di Korea Selatan dan membuka ruang pertukaran pengetahuan serta kemahiran dalam bidang kulinari.
KV Keningau merakamkan penghargaan kepada Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) atas sokongan yang diberikan serta Bahagian Profesionalisme Guru (BPG) atas peluang yang membuka ruang kepada pelaksanaan program dan kerjasama pendidikan antarabangsa ini.
Penganjuran GAJA! Korea 3.0 diharap dapat memperkukuh jaringan antarabangsa KV Keningau serta melahirkan pelajar TVET yang berkemahiran, berkeyakinan dan bersedia bekerjasama dalam persekitaran global.
















