KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali berhasrat mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengemukakan beberapa cadangan berkaitan kepentingan orang Melayu dan masa depan negara.
Ibrahim akan berusaha mendapatkan peluang untuk bertemu Anwar atas kapasiti beliau sebagai Presiden PUTRA selain hubungan sebagai sahabat yang mempunyai semangat perjuangan menegakkan kebenaran.
“Saya akan berusaha untuk bertemu dengan Perdana Menteri secara rasmi, atas kemampuan saya sebagai Presiden PUTRA dan sebagai sahabat tahanan di Kamunting.
“Saya mahu bawa cadangan ini dan bukan main-main,” katanya pada Taklimat dan Penerangan Akta Sabotaj Ekonomi Negara (ASEN) di sini semalam.
Ibrahim berkata, sekiranya diberikan kesempatan, beliau tidak menolak kemungkinan membawa seorang atau dua rakannya sebagai saksi bagi mendengar sendiri perbincangan antara beliau dengan Perdana Menteri.
Menurut Ibrahim, antara perkara utama yang mahu dibawa dalam pertemuan itu ialah cadangan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti secara menyeluruh kedudukan hak dan kepentingan orang Melayu.
Ibrahim berkata, isu tanah Melayu juga perlu diberikan perhatian, khususnya berkaitan data sebenar pemilikan tanah serta mekanisme penggantian sekiranya tanah berkenaan diambil untuk tujuan kepentingan awam.
Beliau menegaskan, cadangan yang mahu dibawa kepada Anwar bukan semata-mata untuk kepentingan PUTRA, bahkan usaha untuk memperkasakan agenda Melayu yang merupakan sebahagian daripada agenda negara. – MalaysiaGazette
















