Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bercakap pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. Foto AIMAN RIZAL, 10 SEPTEMBER 2026.

SHAH ALAM – Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan kes tembak yang mengorbankan seorang lelaki tempatan di Teluk Bunut, Banting, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lelaki berkenaan ditahan lewat malam tadi oleh pasukan dari Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Menurutnya, suspek hari ini dibawa ke mahkamah dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, kita belum dapat tentukan sama ada yang ditangkap itu suspek utama ataupun sebaliknya.

“Insya-Allah, tangkapan ini akan dapat membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Shazeli berkata, motif kejadian masih belum dapat ditentukan dan siasatan sedang giat dijalankan.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku antara jam 10.30 hingga 11 malam pada 8 September, manakala polis menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 11 hingga 11.30 malam.

“Ketika ini kita belum dapat menentukan motif kejadian dan masih menjalankan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Selain itu, Shazeli mengakui Ketiadaan saksi mata menjadi antara cabaran polis dalam merungkai kes tembak tersebut dan sehingga kini pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif serta individu terlibat.

“Belum dapat ditentukan lagi kerana kejadian tidak ada saksi mata. Berlaku pada lewat malam juga.

“Tetapi kita sudah dapat kenal pasti kemungkinan yang terlibat. Namun saya tidak mahu kongsikan kerana belum konkret, belum solid lagi,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia kira-kira 52 tahun dan bekerja sebagai petani di kawasan Banting.

Shazeli berkata, kejadian berlaku di hadapan sebuah rumah yang disewa anak mangsa, namun rumah berkenaan bukan kediaman mangsa.

“Dipercayai si mati datang untuk melihat keadaan rumah tersebut,” katanya.

Menurut Shazeli, polis menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 11 hingga 11.30 malam dan kejadian dipercayai berlaku antara jam 10.30 hingga 11 malam pada 8 September.

Selain itu, katanya polis belum mendedahkan jumlah sebenar tembakan serta tahap kecederaan dialami lelaki yang maut dalam kejadian tembak di Teluk Bunut, Banting malam tadi.

Kata Shazeli, perkara itu hanya dapat ditentukan selepas pihak polis menerima laporan perubatan rasmi.

“Namun tahap kecederaan saya tidak boleh dedahkan. Perlu menunggu laporan daripada pihak perubatan yang dijalankan, baru dapat ditentukan secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata, jumlah das tembakan yang dilepaskan juga masih belum dapat ditentukan.

Sementara itu, Shazeli berkata, polis tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana kejadian berlaku dan motif di sebaliknya.

“Tidak dijumpai sebarang senjata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here