Seorang juruterbang dan empat petugas KKM disahkan maut selepas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak.

KUALA LUMPUR: Dua daripada lima mangsa yang maut selepas helikopter dinaiki terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport) di Miri, kelmarin, layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, sebaik sahaja menerima makluman berkenaan, Skuad PERKESO Prihatin segera mendapatkan maklumat berkaitan mangsa bagi mengenal pasti kelayakan faedah yang boleh diberikan kepada waris mangsa yang terlibat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

“Hasil semakan PERKESO mengesahkan, waris kepada juruterbang helikopter Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM)berjumlah RM3,000 secara sekali bayar dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah keseluruhan yang dianggarkan RM5,355.

“Balunya, Nor Izzati Syamimi Suhaimi, 31, layak menerima faedah berkenaan secara bulanan untuck seumur hidup dengan syernya berjumlah RM3,213.00 manakala dua anaknya yang berumur satu dan lima tahun layak menerima faedah sama berjumlah RM2,142.00 sebulan sehingga mereka berumur 21 tahun atau sehingga tamat ijazah pertama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, tambahnya, waris Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, iaitu suaminya, Muhammad Faiz bin Abdul Malik, 37, layak menerima FPM sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta akan menerima Faedah Pencen Penakat yang dianggarkan berjumlah RM1,574.10 sebulan untuk seumur hidup berdasarkan kepada syer beliau.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan PERKESO akan segera menyalurkan bantuan kepada waris mangsa bagi memastikan kelangsungan waris mangsa yang hidup terus terjamin.

Ujarnya, PERKESO juga menerusi Skuad Prihatin PERKESO telah membuat pembayaran FPM kepada waris kedua-dua pencarum semalam, dan berjumpa dengan keluarga mangsa hari ini untuk membantu menguruskan proses tuntutan faedah.

“Bagi tiga lagi mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian berkenaan, mereka disahkan tidak mempunyai rekod caruman dengan PERKESO.

“Walaubagaimanapun, PERKESO akan merujuk kes tersebut ke platform Social Synergy sekiranya ada bantuan lain yang mereka boleh terima daripada agensi lain.

“Saya dan seluruh warga KESUMA dan PERKESO menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat. Semoga keluarga kekal tabah dan kuat untuk menghadapi ujian ini,” tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) disahkan maut selepas helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) dinaiki mereka terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), petang kelmarin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here