KUALA LUMPUR: Sebanyak 47 organisasi masyarakat sivil (CSO) dan lima individu bertegas supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menghabiskan baki hukuman beliau di dalam penjara, dan bukan sebagai tahanan rumah.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Bersih hari ini, mereka berkata, Najib telah pun mendapat lega hukum daripada Lembaga Pengampunan pada Februari 2024 dan dijangka bebas pada Ogos 2028 sekiranya beliau dapat membayar denda RM50 juta.
Sehubungan itu, mereka mempersoalkan mengapa kes Najib perlu diberikan keutamaan untuk dipertimbangkan.
Sedangkan, ujarnya, masih ramai mereka yang dipenjara hari ini khususnya dari kalangan rakyat yang masih menunggu peluang untuk mendapatkan ruang pengampunan.
Malah, tambahnya, Najib masih lagi mempunyai beberapa kes yang sedang berjalan seperti penyalahgunaan kedudukan dan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB yang berjumlah RM2.3 billion.
Katanya, walaupun Najib telah disabitkan bersalah di peringkat Mahkamah Tinggi dengan hukuman penjara 15 tahun dan denda sekitar RM13 billion, namun beliau kini mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut.
Selain itu, tambahnya, kes pengubahan wang haram kedua SRC International (SRC2) serta kes IPIC juga masih boleh didakwa semula walaupun Najib telah mendapat pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada 2025.
“Sekiranya beliau diberikan pengampunan atau lega hukum untuk menjalankan baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah, apakah yang akan terjadi sekiranya beliau disabitkan kekal bersalah untuk kes 1MDB, atau jika Peguam Negara memutuskan untuk membawa semula kes SRC2 atau kes IPIC?
“Pengampunan beliau akan menyekat proses pendakwaan dan tidak praktikal memandangkan masih ada kes-kes beliau yang sedang berjalan,” katanya.
Tambahnya, negara juga menyaksikan dua lagi bekas Perdana Menteri sedang berhadapan dakwaan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut melibatkan dana awam.
Sehubungan itu, mereka mempersoalkan sama ada sekiranya isabitkan bersalah, adakah mereka juga akan mendapat pengampunan atau lega hukum sama seperti Najib.
“Kerajaan perlu mempertimbangkan kesan ketara yang akan berbangkit kepada kedaulatan undang-undang di Malaysia sekiranya seorang perasuah yang telah disabitkan seperti Najib Razak dilepaskan daripada tatacara keadilan yang biasa,” katanya.
Tambahnya, negara tidak boleh memberi isyarat bahawa pemimpin politik seperti bekas Perdana Menteri yang mempunyai kuasa yang luas apabila melakukan kesalahan dan disabitkan bersalah boleh mengambil jalan pintas untuk bebas dari hukuman.
Katanya, ia seolah-olah ada undang-undang dua darjat untuk elit politik dan rakyat biasa.
“Pengampunan atau tahanan di rumah untuk Najib akan menjadi cabaran total terhadap nilai moral masyarakat Malaysia, di mana kuasa dan wang tentukan benar dan salah, hukuman boleh dilenyapkan kerana lindungan kuasa tertinggi, dan penguatkuasaan undang-undang hanya untuk orang kebanyakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















