Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berucap pada perasmian pembukaan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, WTCKL, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberi isyarat jelas bahawa sayap itu sudah bersedia untuk ‘bertempur’ dengan Pakatan Harapan (PH) di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Malah, Dr Muhamad Akmal mengakui tidak sabar untuk berdepan PH sambil mencabar barisan Pemuda UMNO supaya bersedia menghadapi saingan tersebut.

“Saya memang tak sabar nak lawan dengan Pakatan Harapan 28 kerusi dekat Melaka.

“Saya nak tanya kawan-kawan, boleh atau tidak kita lawan? Boleh menang ke tak boleh menang? Boleh atau tidak?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini hari ini.

Dr Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO tidak seharusnya gentar dengan mana-mana pihak dan perlu turun mempertahankan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya berkenaan.

Beliau turut mengingatkan ahli Pemuda UMNO supaya tidak hanya berani ketika berada di atas pentas, sebaliknya membuktikan kesediaan mereka apabila tiba masa berdepan lawan di lapangan.

Dr Muhamad Akmal menegaskan Pemuda UMNO akan berdepan lawan politik secara terbuka dan tidak berselindung dalam menentukan pendirian parti.

“Pemuda UMNO pertama, kita tak hipokrit. Nak lawan, kita lawan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here