Murad Husin

MELAKA – Kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) komited memperkasakan agenda perumahan rakyat menerusi sasaran sebanyak 41,190 unit Rumah Mampu Milik (RMM) menjelang 2030.

Pengarah Eksekutif LPM, Datuk Murad Husin berkata, dengan berbaki tiga tahun lagi, sasaran itu dijangka dapat dicapai.

Kata beliau, sasaran itu bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri berkenaan terutama golongan belia dan pasangan baharu berumahtangga berpeluang memiliki kediaman sendiri pada harga berpatutan.

“Secara keseluruhannya sejak dua tahun lalu, kita telah membina sebanyak 10,255 unit rumah mampu milik.

“Bagi tahun 2024 kita telah membina sebanyak 3,547 unit, tahun 2025 ada 5,815 dan tahun ini sehingga Ogos ada 863 unit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan MalaysiaGazette di pejabatnya di Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurut Murad, dalam tempoh tiga tahun akan datang, LPM meletakkan sasaran besar untuk meningkatkan kadar pemilikan rumah kepada 88 peratus menjelang 2030.

“Sehingga kini kita telah pun mencapai 86 peratus daripada 88 peratus,” katanya.

Bagi mencapai misi berkenaan jelasnya, sekurang-kurangnya 4,191 unit rumah perlu dibina secara konsisten setiap tahun.

Bagi mencapai sasaran itu juga ujarnya, Melaka menetapkan Dasar Perumahan Negeri yang mewajibkan 50 peratus komponen RMM dibina bagi mana-mana projek perumahan baharu yang mempunyai keluasan melebihi 4.05 hektar.

Dalam pada itu, tambahnya, LPM bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam melaksanakan Projek Residensi Rakyat (PRR) di seluruh Melaka.

“Bagi tahun ini kita ada satu rumah PRR sebanyak 255 unit yang dijangka siap pada hujung tahun ini.

“Yang terkini di PRR Klebang kita akan buat pengisian sebelum akhir tahun ini melibatkan lebih 200 unit,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here