Mohd. Shafiq Iqram Abdullah
Mohd. Shafiq Iqram Abdullah

KUALA LUMPUR – Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Shafiq Iqram Abdullah mengesa UMNO supaya lebih bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak tegas dan tanpa memilih bulu untuk membersihkan parti itu daripada imej rasuah dan salah guna kuasa.

Ketegasan itu jelasnya tidak sepatutnya melihat sebagai ancaman kepada parti itu sebaliknya sebagai peluang untuk melakukan reset terhadap budaya politiknya.

Menurut beliau, UMNO sudah terlalu lama dibebani persepsi berkaitan rasuah dan salah guna kuasa termasuk selepas bekas presidennya sendiri disabitkan kesalahan dan menjalani hukuman penjara.

Katanya, keadaan itu tidak seharusnya terus dinafikan atau disapu ke bawah karpet.

“Justeru, apabila Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada siapa harus kebal daripada tindakan undang-undang, UMNO sepatutnya menyambutnya sebagai peluang untuk membersihkan parti daripada budaya lama yang selama ini gagal mereka selesaikan dari dalam.

“Kalau benar UMNO mahu membina semula keyakinan rakyat, inilah masanya untuk membuktikan bahawa kesetiaan kepada parti tidak boleh mengatasi prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen UMNO yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan menggunakan kedudukan berkaitan pelaburan RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad.

Seorang lagi pemimpin UMNO yang juga bekas menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 14 September ini.

Mengulas isu RCI Tabung Haji, Mohd. Shafiq berkata, perkara itu perlu dilihat secara matang dan terbuka kerana penubuhan RCI tidak bermaksud mana-mana pihak telah dihukum atau didapati bersalah.

Sebaliknya RCI memberi ruang untuk fakta diteliti secara bebas termasuk berkaitan tadbir urus, keputusan pelaburan dan kepentingan pendeposit.

“Tabung Haji ialah sebuah institusi yang membawa amanah besar kepada umat Islam dan mempunyai kepentingan awam yang sangat besar.

“Jika terdapat kelemahan, ia perlu diperbetulkan. Jika berlaku kesalahan, pihak yang bertanggungjawab mesti berdepan dengan undang-undang. Jika tiada kesalahan, dapatan RCI pula boleh membersihkan nama mereka yang tidak bersalah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO perlu berhenti melihat setiap siasatan atau tindakan antirasuah terhadap pemimpinnya sebagai serangan politik.

Jelasnya, sikap sedemikian hanya akan menguatkan persepsi bahawa UMNO masih belum bersedia berdepan dengan budaya politik lama.

“Kalau pemimpin bersih, tiada apa yang perlu ditakutkan. Kalau berlaku kesalahan, biarlah undang-undang menentukan tanpa mengira parti atau kedudukan.

“Ketegasan Anwar dalam perkara ini boleh menjadi titik perubahan kepada UMNO, walaupun proses tersebut mungkin menyakitkan parti dalam jangka pendek.

“Tetapi kalau UMNO benar-benar mahu kembali relevan, mereka perlu berani menerima hakikat bahawa budaya lama perlu ditinggalkan,” katanya.

Mohd. Shafiq berkata, Anwar pada hakikatnya bukan mahu memusnahkan UMNO menerusi agenda antirasuah atau RCI Tabung Haji.

Sebaliknya, ketegasan terhadap rasuah, keterbukaan terhadap siasatan dan keberanian menilai semula keputusan masa lalu merupakan proses yang diperlukan bagi mendorong UMNO melakukan perubahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here