KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2026 berlangsung dalam suasana meriah apabila kehadiran wakil diplomatik dari pelbagai negara diumumkan, dengan setiap nama negara disambut tepukan gemuruh para perwakilan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ketika menyampaikan ucapan alu-aluan mengumumkan kehadiran duta, pesuruhjaya tinggi dan wakil kor diplomatik yang hadir sebagai tetamu pada persidangan berkenaan.
Antara negara yang diwakili ialah Indonesia, Singapura, Vietnam, Timor-Leste, Australia, Republik Rakyat China dan Iran.
Turut disenaraikan ialah Switzerland, Uzbekistan, Palestin, Yemen dan United Kingdom, selain Syria, Iraq dan Oman.
Amerika Syarikat, Jepun, New Zealand dan Türkiye turut antara negara yang menghantar wakil ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini.
Pengumuman nama negara berkenaan beberapa kali disambut tepukan gemuruh terutama ketika negara seperti China dan Amerika Syarikat disebut oleh Asyraf Wajdi.
Kehadiran wakil diplomatik dari pelbagai rantau itu turut memperlihatkan hubungan antarabangsa yang terjalin antara Malaysia dengan negara masing-masing.
Asyraf Wajdi dalam ucapannya turut mengalu-alukan kehadiran para duta, pesuruhjaya tinggi serta anggota kor diplomatik ke perhimpunan tahunan UMNO itu.
Menurut beliau, kehadiran mereka menjadi simbol hubungan baik yang terus terjalin antara Malaysia, khususnya UMNO, dengan negara masing-masing.
Turut diraikan ialah kehadiran wakil Parti Golkar Indonesia sebagai jemputan khas pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Sesi pengenalan kor diplomatik itu mencuri perhatian perwakilan apabila nama negara disebut satu persatu sebelum disambut tepukan daripada seluruh dewan.
Kehadiran wakil antarabangsa berkenaan memberi warna tersendiri kepada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang menghimpunkan pimpinan serta perwakilan UMNO dari seluruh negara. – MalaysiaGazette
















