KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melontarkan gagasan grand collaboration atau Kolaborasi Agung sebagai usaha mewujudkan persefahaman politik antara gabungan parti-parti politik di negara ini.
Beliau berkata, gagasan itu bukan bermaksud penggabungan parti sebaliknya persefahaman bagi mengelakkan pertembungan politik yang akhirnya hanya merugikan semua pihak.
“Gagasan ini menuntut kita untuk menunjukkan persefahaman politik antara gabungan parti-parti politik yang sudah ada di negara kita.
“Kolaborasi Agung ini bukan merupakan penggabungan parti. Sebaliknya, ia adalah persefahaman bagi mengelakkan pertembungan yang merugikan.
“Saya ulangi, bagi mengelakkan pertembungan yang merugikan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau memahami keresahan orang Melayu yang tidak lagi mahu melihat perpecahan dan perbalahan sesama sendiri.
“Kita lupakan episod lama kita. Mari kita menjalin semula penyatuan ini yang begitu diidamkan oleh orang Melayu di seluruh negara,” katanya.
Menurutnya, persefahaman politik atau Tafaqum Siyasi yang dibina perlu berlandaskan kejujuran dan amanah, bukannya perancangan untuk menjatuhkan rakan sendiri.
“Jangan ada dusta di antara kita. Jangan ada khianat dan pengkhianatan. Jangan bina persefahaman pada waktu siang tetapi merancang kejatuhan di malam hari.
“Jangan berjanji-janji dan menandatangani perjanjian, dalam masa yang sama ia dimungkiri,” katanya.
Beliau berkata, prinsip menepati janji penting bagi memastikan kerjasama politik tidak kembali mengulangi episod perpecahan yang pernah berlaku.
“Kerana kerbau diikat pada talinya, manusia mesti diikat dengan janjinya,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengambil iktibar daripada Perjanjian Hudaibiyah yang menurutnya membawa kepada kesepakatan lebih besar sehingga menyumbang kepada pembukaan Kota Mekah atau Fathul Makkah.
Katanya, Fathul Makkah menunjukkan kemenangan bukan semata-mata mengenai kuasa sebaliknya bagaimana kemenangan digunakan untuk membawa kemaafan dan penyatuan.
“Siapa pun, siapa pun, kembalilah. Yang belum kembali, kembalilah,” katanya.
Ahmad Zahid menegaskan, sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) diberi mandat menerajui Putrajaya, kemenangan itu bukan untuk menghukum pihak yang tidak bersama sebaliknya menjadi amanah menyatukan rakyat dan memulihkan negara.
“Insya-Allah, Zahid Hamidi dan semua rakan-rakan yang ada di atas pentas ini, kami tidak ada langsung menyimpan dendam kepada sesiapa pun.
“Kemenangan ini, insya-Allah, bukan untuk menghukum mereka yang tidak bersama.
“Sebaliknya, jika ditakdirkan Allah kemenangan ini milik kita semua, kemenangan ini adalah amanah untuk menyatukan rakyat, memulihkan negara dan membina masa depan sejahtera untuk semua,” katanya.
Beliau menegaskan, kerjasama melalui gagasan itu tidak akan menghakis identiti UMNO dan BN.
“Dengan siapa pun UMNO bekerjasama, Barisan Nasional bekerjasama, UMNO tetap UMNO, Barisan Nasional tetap Barisan Nasional,” katanya. – MalaysiaGazette
















