Bangunan Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang mencapai simpanan minimum RM15,000 akan layak secara automatik berada dalam giliran menunaikan ibadah Haji menerusi sistem kelayakan baharu mulai 1 Januari 2029.

Pendekatan itu diperkenalkan menerusi Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah yang dilancarkan TH hari ini bagi menggalakkan umat Islam membuat persediaan kewangan lebih awal, konsisten dan terancang.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, sistem baharu itu menggantikan proses pendaftaran serta pengurusan giliran sedia ada, namun prinsip siapa dahulu, didahulukan (First-Come, First-Served) kekal dipertahankan.

“Di bawah pendekatan baharu ini, pendeposit akan layak secara automatik untuk berada dalam giliran Haji sebaik sahaja simpanan mereka mencapai RM15,000 iaitu jumlah minimum bayaran Haji semasa bagi kumpulan B40,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagi pendeposit yang sudah berdaftar, mereka diberi tempoh lebih dua tahun sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai baki minimum berkenaan.

Mulai 1 Januari 2029, giliran Haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik berdasarkan tarikh pendaftaran serta pencapaian baki simpanan RM15,000.

Menurut Abdul Rashid, pendekatan itu bertujuan menjadikan pengurusan giliran lebih mudah, adil dan lancar selain mengiktiraf usaha pendeposit yang membuat persediaan secara konsisten.

Pelaksanaannya turut selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memperkukuh tadbir urus serta memastikan pengurusan giliran Haji lebih telus, adil dan mampan.

Abdul Rashid berkata, inisiatif itu mengambil kira maklum balas pendeposit yang mahukan garis panduan lebih jelas serta laluan persediaan yang tersusun.

“Kami telah mendengar maklum balas daripada pendeposit di seluruh negara. Ramai yang mahukan garis panduan yang lebih jelas dan laluan persediaan yang lebih tersusun.

“Inisiatif ini adalah untuk membantu umat Islam di Malaysia menterjemahkan niat kepada tindakan. Mereka yang menyimpan secara konsisten dan membuat perancangan awal bersama kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merealisasikan impian menunaikan Haji,” katanya.

TH berkata, keperluan membuat persediaan kewangan semakin penting apabila kos menunaikan Haji kini mencecah RM33,300 seorang.

Sebelum ini, secara purata hampir 50 peratus pendeposit yang menerima surat tawaran Haji terpaksa menangguhkan hasrat mereka.

Namun, selepas syarat baki simpanan minimum RM15,000 diperkenalkan pada 2025 sebagai antara syarat menerima surat tawaran Haji, kadar penangguhan berjaya dikurangkan kepada 18 peratus.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, Pelan Persediaan Haji – Seruan Istito’ah dirangka bagi memberikan panduan yang lebih jelas dan praktikal kepada umat Islam untuk membuat persediaan kewangan.

“Seruan Istito’ah mengenal pasti mereka yang benar-benar bersedia, sambil menggalakkan yang lain untuk memulakan perancangan lebih awal.

“Matlamat kami adalah untuk membantu lebih ramai umat Islam Malaysia merealisasikan perjalanan seumur hidup ini melalui persediaan yang tersusun dan terancang bersama Tabung Haji sebagai institusi simpanan Islam pilihan,” katanya.

Menurut Mustakim, TH turut memperkenalkan Tabung Istito’ah mulai 19 September ini bagi membantu pendeposit membentuk disiplin simpanan secara lebih sistematik dan berfokus.

Kemudahan Multi Tabung turut diperkenalkan bagi membolehkan pendeposit mempunyai dua tabung dalam satu akaun TH, iaitu Tabung Am dan Tabung Istito’ah.

Tabung Am kekal sebagai tabung utama bagi urusan simpanan dan pengeluaran seperti biasa, manakala Tabung Istito’ah diwujudkan khusus untuk simpanan sukarela yang berfokus kepada persediaan menunaikan Haji.

Sebelum ini, tambahnya, TH turut memperkenalkan Kalkulator Simpanan Haji menerusi laman web baharunya bagi membantu individu merancang jumlah simpanan bulanan berdasarkan tempoh dan sasaran simpanan masing-masing.

“Melalui pendekatan yang lebih tersusun ini, perjalanan menuju Haji menjadi lebih berdisiplin, sistematik dan boleh dicapai.

“Pendeposit sedia ada juga diberikan tempoh lebih dua tahun sehingga 31 Disember 2028 untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here