KUALA LUMPUR – UMNO mahu membawa ‘Agenda Malaysia Biru’ sebagai hala tuju baharu negara sekiranya parti itu dan Barisan Nasional (BN) kembali menerajui Putrajaya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Agenda Malaysia Biru digagaskan bagi membentuk Malaysia yang lebih berdaulat dan bersatu, inovatif serta berpendapatan tinggi, selain memastikan rakyat makmur dan saksama serta negara unggul dan disegani dunia.
Beliau berkata, agenda berkenaan menggariskan lapan ikhtiar utama yang memberi tumpuan kepada penciptaan kekayaan negara, pembangunan modal insan, pemilikan aset, kesejahteraan rakyat, daya tahan negara, kebajikan, integriti institusi serta kepentingan nasional.
“Dengan Gelombang Biru yang kita bawa dan persefahaman politik yang kita bina, Insya-Allah, andai ditakdirkan kita kembali menerajui Putrajaya, saya dan UMNO dan Barisan Nasional ingin gariskan Agenda Malaysia Biru menjelang 100 tahun usia kemerdekaan dengan lapan ikhtiar utama untuk membentuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucaapn Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, lapan ikhtiar yang digariskan itu merangkumi usaha menjadikan Malaysia sebagai Negara Pencipta, Negara Berkemahiran, Negara Pemilik, Negara Sejahtera, Negara Berdaya Tahan, Negara Peduli, Negara Beramanah dan Negara Berdaulat.
Katanya, Agenda Malaysia Biru turut memberi tumpuan kepada penstrukturan percukaian termasuk GST pada kadar munasabah, penyelarasan jaminan sosial rakyat, kemudahan urusan perniagaan serta pembangunan ekonomi wilayah berasaskan kekuatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, katanya, UMNO mahu memperbaharui perjanjian dengan penjawat awam, melindungi kebajikan guru, mengarusperdanakan muamalah Islam dan memastikan PuTERA35 dilaksanakan sebagai agenda seluruh Kerajaan. – MalaysiaGazette
















