KUALA LUMPUR – Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan Sidang Kemuncak Kualiti dan Inovasi UiTM 2026 (QIS 2026) secara bersepadu di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
Berbeza dengan pendekatan konvensional yang selalunya melaksanakan program secara berasingan, QIS 2026 menghimpunkan tujuh acara dan mesyuarat utama universiti di bawah satu bumbung.
Langkah strategik itu bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan sumber dan kos logistik serta mempercepatkan pemindahan amalan terbaik di seluruh ekosistem universiti.
Tujuh komponen utama yang digabungkan sepanjang sidang kemuncak empat hari itu termasuk pembentangan Akhir Kecemerlangan Operasi (OE2025); pameran dan pertandingan 84 projek inovasi poster; platform wacana kepimpinan dan perkongsian ilmu; Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kualiti; Mesyuarat Sinergi MeQKU 2026; Majlis Anugerah Apresiasi Kualiti (MAAQ 2026) dan; Sesi Perkongsian Pemenang Utama.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, menegaskan bahawa kecemerlangan universiti masa kini menuntut keberanian memperkemas proses kerja dan meminimumkan birokrasi yang melelahkan.
“Kita tidak lagi boleh bergerak secara berasingan. Penjimatan sumber, kecekapan operasi, dan penyelarasan tadbir urus kualiti mestilah digembleng secara sinergi.
“Sebenarnya merangkumi keberanian mentransformasi penyampaian perkhidmatan demi impak maksimum kepada pelajar dan pemegang taruh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi QIS 2026 merangkap Pengarah Pengurusan Kualiti, Inovasi & Kecemerlangan Operasi InQKA, Prof. Madya Ts. Dr.-Ing. Shahrul Azam Abdullah, menjelaskan gabungan itu direka khas sebagai penyelesaian kepada isu pembaziran masa dan keberasingan kerja (silo).
“Sebelum ini, program seperti Simposium dan Mesyuarat Kualiti dilaksanakan berasingan, sekali gus menyebabkan komitmen masa dan logistik yang berulang.
“Format bersepadu ini merealisasikan impak sebenar merangkumi 84 projek inovasi dan 17 finalis OE yang dipamerkan dapat dinilai terus oleh pengurus kualiti untuk disistemasi serta direplikasi ke seluruh cawangan UiTM,” jelas beliau. -MalaysiaGazettte
















