Tertuduh (kiri) Nurul Amalina Mohamad Kamal, 32, dijatuhi hukuman denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki, Julai lalu.

MELAKA – “Hai, artis ke aku ni? Ada soalan tak?.

Itu reaksi seorang ibu tunggal kepada petugas media yang merakamkan gambarnya selepas dijatuhi hukuman denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki, Julai lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Nurul Amalina Mohamad Kamal, 32, yang mempunyai hampir 100,000 pengikut di TikTok mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama empat lagi yang telah dituduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera kepada seorang lelaki berusia 47 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di kedai makan dalam lingkaran Melaka Sentral di sini pada jam 12 tengah hari hingga 12.30 petang 25 Julai 2026.

Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Berdasarkan fakta kes mangsa dipukul sehingga mengalami kecederaan sakit di bahagian belakang, bahagian kepala, hidung luka, dan sakit di tulang rusuk kanan sehingga mangsa sukar untuk bernafas.

Kejadian berpunca apabila mangsa mendapat tahu laporan tarik balik berkaitan satu kes membabitkannya belum dibuat tertuduh walaupun pembayaran sebanyak RM15,000 telah dibuat untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Terdahulu, tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu hukuman denda minimum terhadap tertuduh yang tidak bekerja selain merupakan ibu tunggal empat anak.

Tertuduh juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu dan cuba mengawal emosi serta membiarkan pihak polis menyelesaikan perkara berbangkit.

Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya bagaiamanapun memohon hukuman setimpal.

Mahkamah kemudian mengarahkan Nurul Amalina didenda RM1,8000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar dan tertuduh membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, berlaku kekecohan di luar mahkamah antara petugas media dan seorang lelaki yang bertindak memegang tangan wartawan serta juruvideo bertugas untuk menghalang daripada merakamkan gambar dan video tertuduh

Tertuduh sebelum itu kelihatan terkejut dengan kehadiran ramai petugas media sambil bertanyakan; ‘Hai, artis ke aku ni? Ada soalan tak?’ ketika dibawa polis pengiring.

Malah, tertuduh juga sempat meminta lelaki berkenaan merakamkan visual kumpulan media yang sedang melaksanakan tugas seperti biasa. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here