Tertuduh, Nur Dalila Salleh, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun kepada kecederaan fizikal, Disember tahun lalu.

MELAKA – Seorang guru peribadi wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun kepada kecederaan fizikal, Disember tahun lalu.

Tertuduh, Nur Dalila Salleh, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia empat tahun didakwa telah mendedahkannya kepada kecederaan fizikal semasa dalam jagaannya.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Belia Antarabangsa, Melaka Tengah kira-kira pukul 1 tengah hari, 12 Disember 2025 lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) Akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qayyum Ramlan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan supaya tertuduh tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan dan melapor diri sekali sebulan di balai polis berhampiran.

Peguam Norfazlinda Alimad bagaimanapun merayu jumlah lebih rendah dengan alasan tertuduh hanya belerja sebagai pentadbir platform beli-belah selain menjaga kedua ibu bapanya.

Anak guamnya juga tiada sebarang rekod lampau dan bersedia menerima sebarang syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

Hakim Rohatul Akmar pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta menerima syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula 16 Oktober ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here