Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim hadir bagi menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mendesak polis segera menyiasat laporan yang dibuat Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.

Pengerusinya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, siasatan itu perlu dijalankan susulan kenyataan media Ismail kelmarin, berhubung isu yang melibatkan institusi diraja dan keharmonian Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pihaknya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan secara telus, profesional dan tegas bagi memastikan tiada pihak mempermainkan institusi diraja serta adat istiadat Negeri Sembilan.

“Sekretariat menyambut baik dan merakamkan penghargaan di atas ketaatan setia yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan terhadap Duli Yang Maha Mulia YDPB Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Ismail secara terbuka membuat kenyataan mendakwa beliau dipaksa menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau berkata, laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Menurutnya, surat cara proklamasi berkenaan ditandatangani tanpa kerelaannya dan dalam keadaan paksaan (duress).

Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin
Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin

Dalam pada itu, Megat Shahriman menegaskan sokongan penuh dan taat setia kepada Tuanku Muhriz serta Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sekretariat turut menyatakan akan terus berdiri teguh bersama Menteri Besar dan rakyat Negeri Sembilan dalam mempertahankan kedaulatan institusi diraja di bawah pemerintahan Tuanku Muhriz. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here