Timbalan Ketua UMNO Perak Bahagian Ipoh Barat, Muhammad Iqbal Jamal Datuk Wira Jamaluddin ketika menyampaikan usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO perlu berani bermuhasabah dan tidak terus menggunakan politik identiti apabila berdepan penolakan pengundi Melayu terhadap Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Muhammad Iqbal Jamal Jamaluddin berkata, parti itu perlu mencari punca sebenar mengapa sebahagian orang Melayu menolak BN, bukannya menyalahkan kaum lain.

Menurut beliau, naratif seperti ‘orang Melayu tolak BN, orang Melayu tolak MCA’ tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menutup kelemahan yang perlu diperbaiki dalam parti.

“Sepatutnya mereka tanya kepada kita, kenapa orang Melayu tolak kita? Bukan kita bermain dengan politik identiti.

“Kesamaran parti yang membuatkan kita tidak selesa. Jadi itu adalah perkara yang penting kepada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Beliau berkata, UMNO juga perlu melihat semula beberapa isu dan janji politik terdahulu yang menyebabkan rakyat kecewa, selain memastikan parti tidak mengulangi kesilapan sama.

Katanya, kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan membuktikan UMNO masih mempunyai kekuatan serta mampu kembali mendapat kepercayaan rakyat.

Namun, beliau mengingatkan kejayaan itu tidak seharusnya menyebabkan parti berasa terlalu selesa, sebaliknya perlu berani menyusun semula strategi dan memperkukuhkan parti.

“UMNO perlu berani. Kita kena tunjuk kepada rakyat bahawa sesungguhnya kita masih ada kekuatan,” katanya.

Dalam pada itu, Iqbal berkata, gagasan Gelombang Biru yang dibawa UMNO perlu diteruskan sebagai tawaran politik kepada rakyat dan tidak hanya menjadi slogan.

Beliau turut menyentuh kerjasama politik dengan parti lain, termasuk Pas, dengan menegaskan UMNO perlu mempunyai pendirian dan strategi sendiri bagi memastikan kelangsungan parti.

Katanya, UMNO tidak seharusnya membiarkan percaturan politik pihak lain melemahkan parti, sebaliknya perlu menghadapi tekanan politik dengan permuafakatan dan kebijaksanaan.

“Janganlah kita cepat melatah. Kita hadap dengan tenang, kita hadap dengan permuafakatan dan kebijaksanaan.

“UMNO ini parti besar dan kita sentiasa menghadapi konflik-konflik. Oleh sebab itu, UMNO perlu berani,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here