KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditangguhkan oleh Mesyuarat Lembaga Pengampunan perlu diterima positif oleh ahli UMNO dengan hati terbuka.
Naib Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, ini kerana sekurang-sekurangnya tiada keputusan muktamad yang dibuat, sekali gus memberi kelegaan bahawa masih terdapat sinar pada mesyuarat akan datang.
Katanya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, biarpun ditangguhkan, UMNO yakin dengan hemat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang memiliki kuasa pprerogatif pengampunan yang tidak boleh dipertikaikan.
“Alhamdulillah, belum ada sebarang keputusan. Itu pada saya begitu melegakan. Sebab kalau keputusan, ada dua. Mungkin terima, mungkin tolak. Jadi yang melegakan, belum ada keputusan.
“Dan sekalipun ditangguh, ia adalah kuasa prerogatif eksklusif Ke Bawah Duli Tuanku.
“Kita sebagai ahli UMO, menerima dengan hati terbuka dan yakin percaya bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mempunyai hematnya sendiri dan kuasa prerogatif pengampunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette selepas membahaskan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Pagi tadi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengesahkan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Fared berkata, apa yang pasti, permohonan bekas Perdana Menteri kelima itu telah berada dalam pengetahuan Lembaga Pengampunan dan kini hanya tinggal proses lanjutan.
“Dan kita pun tak nak sentuh tapi kita cuma difahamkan kalau betul keputusan baiknya hari ini, kita rasa bersyukur. Tapi jika belum, kita yakin dengan hemat Ke Bawah Duli Tuanku dalam menerus kuasa prerogatif,” katanya. – MalaysiaGazette
















