KUALA LUMPUR – UMNO berharap permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak tidak terus tertangguh dan dapat dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu mengambil maklum keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang hari ini.
“UMNO menjunjung kasih dan menghormati sepenuhnya institusi Yang di-Pertuan Agong serta segala proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan.
“Sehubungan itu, UMNO berharap agar permohonan tersebut dapat dipertimbangkan pada mesyuarat akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu, selaras dengan proses undang-undang dan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mesyuarat berkenaan menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak, sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan rasmi Kerajaan.
Menurut Asyraf Wajdi, perjuangan UMNO mendapatkan keadilan buat Najib bukan usaha untuk mencabar institusi atau proses undang-undang.
Sebaliknya, kata beliau, UMNO akan terus menggunakan segala ruang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang bagi memastikan hak Najib untuk mendapatkan pertimbangan yang adil dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“UMNO turut memahami keresahan dan kekecewaan ahli-ahli parti serta rakyat yang telah lama menantikan perkembangan berhubung perkara ini.
“Namun, UMNO menyeru semua pihak supaya terus bertenang, menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan,” katanya.
Asyraf Wajdi menegaskan, UMNO tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan buat Najib, sebaliknya akan terus menggunakan saluran Perlembagaan, undang-undang dan institusi yang sah.
“Kita akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang dan institusi yang sah sehingga segala proses berkaitan Datuk Seri Mohd Najib diberikan pertimbangan sewajarnya,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















