GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat bagaimana sebanyak 50 lori pada hari-hari tertentu boleh mengangkut dan membuang sisa binaan dalam jumlah besar di lokasi yang tidak dikhaskan di Pontian, Johor.
Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kegiatan pembuangan sisa binaan yang didakwa berasal dari Singapura itu juga menyebabkan pencemaran alam sekitar tanpa pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.
“Berdasarkan laporan media, penduduk beberapa kampung di Pontian sukar tidur dengan nyenyak pada waktu malam akibat bunyi bising konvoi lori yang melalui jalan batu kelikir yang sempit untuk membuang sisa binaan seperti simen, serpihan jubin dan peralatan binaan terpakai.
“Kegiatan ini telah berlarutan sejak awal 2025 dan pada hari-hari tertentu, sebanyak 50 lori memasuki tapak berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohideen berkata, selain pencemaran bunyi, penduduk juga mungkin terdedah kepada bahaya asbestos yang mungkin terkandung dalam sisa binaan berkenaan.
Katanya, pihak berkuasa Johor dipercayai menganggap sisa binaan itu berasal dari Singapura, namun Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura mendakwa negara itu tidak membenarkan sisa binaan dan perobohan (C&D) dieksport untuk tujuan pelupusan.
“Bagaimanapun, perbincangan dengan pihak berkuasa pengurusan sisa negara, SWCorp, mengenal pasti sembilan syarikat yang dikaitkan dengan pembuangan haram sisa binaan di Pontian itu sebagai syarikat Malaysia.
“Bagaimana sisa binaan boleh melepasi sempadan sedangkan Singapura mempunyai undang-undang dan peraturan yang mengawal selia eksport bahan terpakai dan sisa?
“Pada masa sama, Malaysia juga mempunyai undang-undang dan peraturan yang wajib dipatuhi berkaitan pengurusan, perdagangan dan pelupusan sisa,” katanya.
Sehubungan itu, Mohideen berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu dikenal pasti dan dipastikan memikul tanggungjawab sepenuhnya di sisi undang-undang.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa Singapura dan Malaysia menjelaskan bagaimana lori terbabit berjaya melepasi pusat pemeriksaan tanpa dikesan, selain memastikan pelanggaran seumpama itu tidak berulang. – MalaysiaGazette
















