KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak secara bersama seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi di Parlimen.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, ia selaras dengan semangat dan perlindungan yang mendasari pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Bendahari UMNO Sabah itu menambah, ketika Malaysia dibentuk, Sabah, Sarawak dan Singapura secara bersama mewujudkan satu keseimbangan penting dalam perwakilan Parlimen.
Ujarnya, apabila Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965, keseimbangan tersebut berubah.
“Pada pandangan saya, pembahagian kerusi Parlimen sepatutnya disusun semula ketika itu bagi mengekalkan prinsip satu pertiga untuk negeri-negeri Borneo.
“Oleh itu, isu ini bukan sekadar soal menambah beberapa kerusi untuk Sabah dan Sarawak. Ia adalah soal mengembalikan satu keseimbangan penting yang berkait rapat dengan asas pembentukan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri berkata, penambahan itu perlu memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak menjadi lebih tinggi berbanding ketika ini.
Sementara itu, Salleh mengalu-alukan kenyataan Anwar berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu perkembangan yang positif dan penting.
Beliau turut menyokong penuh gesaan Menteri Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah supaya cadangan itu disusuli dengan tindakan konkrit dan tidak sekadar menjadi kenyataan hasrat.
Ujarnya, selepas lebih 60 tahun, sudah tiba masanya prinsip itu diterjemahkan kepada pelan tindakan yang jelas, langkah-langkah konkrit dan pelaksanaan.
“Mengembalikan keseimbangan satu pertiga di Parlimen bukan bertujuan melemahkan Malaysia.
“Sebaliknya, ia akan memperkukuhkan perkongsian Persekutuan dan menghormati asas serta semangat pembentukan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















