PASIR GUDANG – Golongan belia perlu didedahkan dengan program yang boleh mengembangkan potensi diri khususnya dalam bidang sukan, kepimpinan dan pembangunan masyarakat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, program seumpama itu wajar dianjurkan dengan lebih banyak lagi bagi memberi pendedahan, pengalaman dan ruang kepada golongan tersebut.
Berucap dalam Majlis Perasmian Project Project FU-GeN 2026 (Future – Generation) di Tanjung Puteri Golf Resort di sini, beliau berkata, program berkenaan adalah satu contoh yang memberi manfaat dan amat membina golongan tersebut.
“Project FU-GeN 2026 memberi penekanan terhadap kepentingan menyediakan lebih banyak ruang dan peluang kepada golongan muda untuk terlibat dalam aktiviti yang membina,” katanya.

Hassan menyatakan sokongan terhadap usaha anjuran Legend Sports Ventures (LSV) itu dan komitmennya dalam melaksanakan inisiatif yang bermanfaat kepada golongan muda di Pasir Gudang.
Majlis penutupan Project FU-GeN 2026 itu turut dihadiri Pegawai Khas kepada Menteri Besar Johor, Teeba Solaimalai; Ketua Cawangan Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Inspektor Mohd Saffuan Ishak dan Pengasas LSV, Presant Sathasivam.
Sementara itu, Teeba menggalakkan peserta terus memanfaatkan ilmu dan pengalaman diperoleh sepanjang program serta mengambil peluang memainkan peranan lebih aktif dalam komuniti.
Dalam pada itu, Presant berkata, Legend Sports melihat sukan lebih daripada sekadar medan pertandingan iaitu sebagai satu pendekatan membentuk keyakinan diri, kepimpinan dan nilai kemasyarakatan dalam kalangan generasi muda.

Katanya, selain pengisian kepimpinan dan sukan, peserta turut mengikuti aktiviti penanaman pokok, perbincangan berkaitan matlamat pembangunan mampan (SDG) serta malam kebudayaan yang memberi peluang kepada mereka berinteraksi dan mengenali kepelbagaian budaya.
“Sebagai kesinambungan kepada Project FU-GeN, LSV turut memperkenalkan Kelab Belia Legend, sebuah platform yang dipacu oleh belia untuk meneruskan penglibatan dalam kepimpinan, kesukarelawanan dan aktiviti kemasyarakatan.
“Penubuhan Kelab Belia Legend menjadi sebahagian daripada usaha LSV memastikan peluang pembangunan yang diwujudkan melalui Project FU-GeN dapat diteruskan dengan memberi ruang kepada golongan muda untuk mengambil tanggungjawab dan memimpin inisiatif mereka sendiri,” katanya.
Bagi LSV katanya, pendekatan itu mencerminkan peranan sebagai sebuah perusahaan sosial yang memanfaatkan kekuatan sukan untuk membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda, bukan sahaja dalam bidang sukan, tetapi juga dalam pembangunan diri, kepimpinan dan masyarakat.

Beliau merakamkan penghargaan kepada All-Party Parliamentary Group Malaysia-Sustainable Development Goals (APPGM-SDG), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor (JPNIN Johor) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor (JBSN) Johor.
Penghargaan juga kepada Hassan, Teeba Solaimalai, Mohd Saffuan jurulatih-jurulatih, fasilitator, sukarelawan serta para peserta atas sumbangan dan komitmen dalam menjayakan program itu.
Seramai 30 belia menyertai Project FU-GeN 2026 iaitu inisiatif pembangunan belia dan kepimpinan yang dianjurkan oleh LSV, sebuah perusahaan sosial berdaftar yang menggunakan sukan sebagai wadah untuk pembangunan insan dan masyarakat.
Program itu berlangsung selama tiga hari dua malam dari 3 hingga 5 September lalu di Tanjung Puteri Golf Resort, Johor Bahru.

Legend Sports menjadi organisasi pelaksana dan APPGM-SDG dengan sokongan JPNIN Johor dan JBSN Johor.
Project FU-GeN membawa pendekatan yang menggabungkan sukan dengan pembangunan kepimpinan, pembentukan jati diri, kerja berpasukan, perpaduan dan kesedaran terhadap peranan belia dalam masyarakat.
Antara pengisian utama ialah sesi perpaduan dan pemahaman budaya yang dikendalikan Pengarah JPNIN Johor, Nurul Akmalina Shamsuddin; pihak JPNIN Johor dan JBSN Johor.
Sesi berkenaan memberi ruang kepada peserta daripada pelbagai latar belakang untuk memahami kepelbagaian, menghormati perbezaan dan membina hubungan yang lebih erat sebagai satu masyarakat.
Pada masa yang sama, JBSN menerangkan tentang kepentingan dan peranan kelab belia serta initiatif-initiatif kerajaan kepada belia bersukan.- MalaysiaGazette
















