Foto: FB Anwar Ibrahim

NEW DELHI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi.

Pesawat khas yang membawa Anwar dan delegasi mendarat di Pangkalan Tentera Udara Palam di sini pada 6.30 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala) Kementerian Luar Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad, Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke India Sharifah Ezneeda Wafa, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia Dr Mohd Shaharin Umar dan Atase Pertahanan Kolonel Dr Nizlan Mohamed.

Turut menyambut Perdana Menteri ialah Menteri Hal Ehwal Luar merangkap Menteri Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim (Menteri Pengiring) Kirti Vardhan Singh, Setiausaha Tambahan Kementerian Hal Ehwal Luar Prashant Agrawal dan Komodor Udara AFS VSM Rishabh Mittal.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

Sidang kemuncak itu, yang akan dihoskan oleh Modi, membawa tema “Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan”, dengan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan perdagangan dan pelaburan.

Sebagai ahli pengasas BRICS, India sebelum ini memegang jawatan Pengerusi sebanyak tiga kali, iaitu pada 2012, 2016 dan 2021. India mengambil alih sebagai Pengerusi BRICS keempat pada 1 Jan 2026.

Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di New Delhi adalah atas kapasitinya sebagai Negara Rakan BRICS sejak 1 Jan 2025

Beberapa jam selepas tiba di ibu negara India, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Pada Sabtu (12 Sept), Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Modi di Hyderabad House, Rumah Tetamu Negara Perdana Menteri India, selain Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev dan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed di luar sidang kemuncak berkenaan.

Anwar turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan beberapa tokoh utama industri di sini.

Beliau akan menghadiri jamuan makan malam gala untuk para pemimpin negara anggota, negara rakan kongsi serta negara jemputan BRICS di Bharat Mandapam, pusat pameran dan konvensyen yang menjadi lokasi berlangsungnya sidang kemuncak berkenaan.

Pada Ahad (13 Sept), Perdana Menteri akan menghadiri sesi pembukaan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 dan menyampaikan Kenyataan Negara bertajuk “Membentuk Masa Depan ke arah Pertumbuhan Global yang Inklusif”.

Malaysia akan menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara negara anggota dan negara rakan BRICS dalam menangani cabaran pembangunan, memperluas peluang ekonomi serta memastikan manfaat kemajuan teknologi dan inovasi dapat dinikmati secara lebih inklusif oleh semua negara.

Selepas itu, Anwar akan meneruskan lawatan kerja beliau ke Keralam (nama rasmi baharu bagi Kerala), sebuah negeri yang terletak di Pantai Malabar, selatan India.

Di Keralam, beliau akan bertemu dengan Mufti BESAR India Sheikh Abubakr Ahmad untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pembangunan masyarakat, pemerkasaan pendidikan serta kesefahaman dan keharmonian interaktif keagamaan.

Sebagai sebahagian daripada lawatan tersebut, Perdana Menteri dijadualkan bertemu dengan Ketua Menteri Kerala Thiru V. D. Satheesan dan Gabenor Keralaman Thiru Rajendra Vishwanath Arlekar.

Pertemuan itu bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan negeri tersebut dalam sektor utama seperti perdagangan dan pelaburan, pelancongan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Hubungan diplomatik moden antara Putrajaya dan New Delhi terjalin pada 1957, tidak lama selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, dan India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah USD18.55 bilion (RM79.33 bilion) pada 2025.

Lawatan kerja ini dijangka mampu terus memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) antara kedua-dua negara di samping membuka peluang baharu untuk memperluas kerjasama berimpak tinggi khususnya dalam sektor ekonomi, perdagangan dan pelaburan, teknologi digital serta pendidikan.

Perdana Menteri akan berlepas ke Maldives pada 14 Sept ini. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here