KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan seruan untuk mengangkat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai naratif nasional sebagai permulaan kepada sebuah perbincangan yang lebih besar.
Katanya, negara memerlukan keberanian untuk memperbaharui persefahaman kebangsaan, memperkukuh federalisme, merapatkan jurang pembangunan dan yang lebih penting, membina kesedaran bahawa Malaysia tidak mungkin difahami hanya dari Kuala Lumpur.
Menurutnya, seruan itu juga bukan sekadar membuka ruang lebih luas untuk membicarakan hak Sabah dan Sarawak, tetapi mengajak seluruh rakyat menilai kembali kefahaman tentang sejarah, asas pembentukan dan makna Malaysia itu sendiri.
“Kita harus mengakui bahawa setelah lebih enam dekad pembentukan Malaysia, wacana kebangsaan masih banyak berlegar dari sudut pandang Semenanjung.
“Persoalan MA63, kedudukan Sabah dan Sarawak, tuntutan pembangunan serta hubungan dengan Kerajaan Persekutuan sering dibicarakan seolah-olah ia persoalan wilayah yang perlu diselesaikan antara Kota Kinabalu, Kuching dan Putrajaya.
“Sedangkan sejarah pembentukan Malaysia tidak pernah meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai catatan sampingan kepada sebuah negara yang telah sempurna terbentuk,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MA63 perlu diterjemahkan sebagai dasar, komitmen dan naratif nasional yang dilaksanakan secara berterusan, bukan sekadar dokumen sejarah yang dikenang setiap tahun.
Perdana Menteri berkata, MA63 merupakan amanah dan iltizam nasional yang mesti ditunaikan dengan penuh keikhlasan, keadilan serta tanggungjawab demi memastikan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak terus dipelihara.
Tambah Kamil Munim, Malaysia lahir daripada keberanian untuk membina sebuah persekutuan yang besar cita-citanya; merentasi laut dan wilayah, menghimpunkan masyarakat dengan latar budaya, agama dan sejarah yang berbeza, namun bersedia berkongsi masa depan dalam sebuah negara.
Maka, katanya, apabila Perdana Menteri berbicara tentang MA63 sebagai sebahagian daripada naratif nasional, beliau berpandangan bahawa kita harus berani membawa pengertiannya lebih jauh.
“Dalam beberapa hari menuju Hari Malaysia, saya berharap generasi muda khususnya dapat memikirkan persoalan ini dengan lebih serius: setelah 63 tahun perjalanan bersama, apakah ikhtiar kita untuk Malaysia bagi 30 atau 50 tahun mendatang?
“Generasi terdahulu telah membentuk negara ini. Kepada generasi kita terpikul amanah untuk menjadikannya lebih adil, lebih bersatu dan lebih sempurna sebagai sebuah Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette















