Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad bersama Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Kehadiran pemimpin Pas pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 memberi kesan perubahan psikologi dan persepsi politik terhadap hubungan antara kedua-dua parti itu.

Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kehadiran pemimpin Pas secara terbuka di PAU dengan mengibarkan bendera UMNO dan duduk sebagai tetamu khas, memberi isyarat bahawa kedua-dua parti semakin selesa untuk mengetepikan permusuhan politik lama.

Ujarnya, ia juga boleh membuka ruang kepada akar umbi kedua-dua parti untuk menerima idea kerjasama yang sebelum ini mungkin sukar diterima.

“Dalam konteks politik Melayu-Islam, imej ini mempunyai nilai simbolik yang kuat kerana ia menunjukkan bahawa persaingan sesama sendiri tidak semestinya mengatasi kepentingan penyatuan yang lebih besar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam ini.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Awal hari ini, PAU 2006 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, mencuri tumpuan dengan kehadiran pimpinan utama Pas bagi mendengar ucapan dasar Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka yang hadir ialah Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari, selain Ahli Parlimen Bachok merangkap Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Ia merupakan kunjungan balas terhadap kehadiran Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, Kelantan, minggu lalu.

Sementara itu, Zainul Rijal berkata, dalam jangka panjang, perkembangan tersebut boleh mengubah peta politik negara, khususnya jika kemesraan tersebut berkembang menjadi kerjasama politik yang tersusun.

Namun, ujar beliau, kejayaan penyatuan Pas–UMNO tidak bergantung kepada gambar dan simbol semata-mata, sebaliknya memerlukan kepercayaan, persefahaman dasar dan kesediaan kedua-dua parti berkompromi dalam perkara tertentu.

“Jika berjaya, gabungan kekuatan dua parti ini berpotensi menjadi pencabar yang sangat serius untuk mendapatkan semula Putrajaya.

“Sebaliknya, jika hanya bersifat retorik atau kunjungan protokol, ia mungkin sekadar menghasilkan kemesraan sementara tanpa mengubah landskap politik secara substantif,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here