Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud
SIRI penahanan terkini yang melibatkan rakyat Malaysia berkaitan kes dadah di Indonesia sememangnya telah menimbulkan kebimbangan dan perbincangan yang ketara dalam kalangan masyarakat. Walaupun setiap kes perlu disiasat secara
berasingan, adil dan telus oleh pihak berkuasa yang berkaitan, insiden-insiden ini merupakan satu peringatan penting bahawa masalah dadah masa kini semakin kompleks, dinamik dan bersifat rentas sempadan. Masalah ini tidak boleh ditangani
melalui satu strategi sahaja.
Malaysia telah sekian lama mengamalkan pendekatan komprehensif yang merangkumi pencegahan, rawatan dan pemulihan, di samping penguatkuasaan undang-undang serta pengurangan bekalan dadah. Komponen-komponen ini telah dijalankan dan dilihat saling melengkapi dan memperkukuh antara satu sama lain.
Kawalan dadah yang berkesan bergantung kepada dua tonggak yang saling menyokong. Penguatkuasaan yang kukuh menyekat bekalan dadah terlarang dan melindungi sempadan negara, manakala pengurangan permintaan dadah secara proaktif melindungi rakyat daripada gangguan penggunaan bahan, eksploitasi dan ketagihan. Kedua-dua tonggak ini amat penting dalam membina komuniti yang selamat, sihat dan berdaya tahan.
Sebagai seorang pakar perunding perubatan keluarga dan profesional dalam bidang ketagihan yang terlibat dalam advokasi pencegahan, rawatan dan pemulihan, saya percaya situasi semasa memberikan satu peluang yang penting untuk kita bertindak lebih efektif. Kita perlu menggunakan momentum ini untuk memperhebatkan strategi pengurangan permintaan dadah berasaskan bukti, dan bukannya bertindak semata-mata berdasarkan ketakutan, stigma atau kecaman masyarakat.
Barisan hadapan pencegahan bermula dalam komuniti
Pengurangan permintaan dadah merupakan satu strategi proaktif yang perlu bermula jauh lebih awal sebelum seseorang berhadapan dengan pihak penguatkuasa atau sistem keadilan. Barisan hadapan sebenar bagi pencegahan dadah bermula dalam keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja, sistem penjagaan kesihatan dan komuniti secara keseluruhannya. Pelaburan dalam komponen asas ini merupakan kunci kepada usaha pencegahan dadah yang mampan.
Pencegahan juga perlu melangkaui kempen kesedaran asas atau mesej sekali-sekala yang hanya meminta golongan muda untuk sekadar “katakan tidak kepada dadah”. Bukti antarabangsa, termasuk piawaian yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), semakin menyokong pendekatan yang sesuai dengan tahap perkembangan individu dan berorientasikan kesihatan.
Pencegahan yang berkesan perlu memperkukuh faktor perlindungan dan mengurangkan faktor risiko pada setiap peringkat kehidupan, termasuk melalui:
program keibubapaan dan pengukuhan institusi keluarga;
pembangunan kemahiran hidup dan kemahiran sosial;
persekitaran sekolah yang menyokong serta promosi kesihatan mental; dan
pembangunan belia yang positif serta intervensi bersasar untuk individu yang berisiko atau terdedah.
Bagi memaksimumkan impak, usaha pencegahan perlu disesuaikan dengan tahap risiko seseorang. Pencegahan universal perlu dilaksanakan untuk populasi umum, pencegahan selektif untuk kumpulan yang berisiko tinggi, manakala pencegahan
berindikasi dan intervensi awal perlu disasarkan kepada individu yang telah menunjukkan tanda-tanda awal penggunaan bahan.
Mengesan risiko lebih awal, perluas kontinum penjagaan
Malaysia perlu terus memperkukuh pengesanan awal penggunaan bahan dalam persekitaran penjagaan kesihatan, institusi pendidikan, tempat kerja dan komuniti. Penjagaan kesihatan primer (penjagaan di peringkat awal) memainkan peranan yang
amat penting dan relevan. Penggunaan instrumen saringan yang sah dan sesuai, intervensi ringkas serta sistem rujukan yang berkesan dapat membantu mengenal pasti penggunaan bahan berisiko sebelum ia berkembang menjadi masalah berkaitan
dadah yang lebih serius.
Selain itu, tempat kerja, khususnya pekerjaan yang melibatkan aspek keselamatan, perlu menggabungkan dasar pencegahan dengan laluan bantuan awal yang bersifat tanpa stigma, selamat dan menjaga kerahsiaan, termasuk penilaian dan rawatan,
dan bukan hanya bergantung kepada tindakan berbentuk hukuman selepas berlakunya sesuatu krisis.
Prinsip utama respons penjagaan kesihatan kita perlu jelas: Kenal pasti risiko lebih aktif, lakukan intervensi secara proaktif, berikan rawatan yang efektif dan sokong proses pemulihan secara komprehensif dan berterusan. Individu yang mengalami gangguan penggunaan dadah memerlukan akses kepada penjagaan kesihatan yang mudah dicapai, beretika dan berasaskan bukti kerana masalah kebergantungan dadah tidak dapat ditangani dengan berkesan melalui stigma semata-mata.
Sistem rawatan perlu menyediakan kontinum penjagaan yang menyeluruh, merangkumi penilaian perubatan dan psikologi, rawatan farmakologi dan psikososial, pengurusan masalah kesihatan mental dan fizikal yang berlaku serentak, pencegahan relaps serta sokongan pemulihan jangka panjang.
Membina daya tahan terhadap dadah di Sabah
Memastikan rawatan dapat diakses dengan mudah amat penting khususnya bagi Sabah, yang mana faktor jarak geografi, kedudukan kawasan luar bandar dan akses yang tidak sekata kepada perkhidmatan kepakaran boleh menjadi halangan kepada
intervensi awal dan kesinambungan penjagaan. Data nasional terkini turut memperkukuh kepentingan untuk terus memberikan
perhatian kepada Sabah.
Di Parlimen baru-baru ini, kerajaan melaporkan 3,553 individu telah dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan di Sabah bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, dengan dadah jenis perangsang amfetamin atau amphetamine-type stimulants (ATS) merangkumi sebahagian besar daripada kes yang dikesan.
Data ini seharusnya mendorong kita untuk terus memperhebatkan pendekatan bersepadu. Walaupun kedudukan geografi Sabah serta sempadan antarabangsa yang luas memberikan cabaran tertentu, negeri ini juga mempunyai kekuatan yang sangat besar. Keluarga, kampung, sekolah, petugas kesihatan, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan, organisasi belia dan agensi kerajaan merupakan aset komuniti yang amat bernilai.
Dengan mengintegrasikan aset-aset ini ke dalam infrastruktur kawalan dadah, kita mampu membangunkan komuniti yang berupaya mengenal pasti risiko lebih awal, menghubungkan individu yang terjejas dengan bantuan profesional, serta
menyokong mereka sepanjang proses pemulihan jangka panjang.
Menuju dadah terkawal 2030: Mengukur kejayaan bersama
Ketika Malaysia bergerak menuju aspirasi Dadah Terkawal 2030, kita perlu terus memperkukuh pendekatan komprehensif yang telah menjadi sebahagian daripada kerangka kawalan dadah negara. Pencapaian kemajuan kita tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan jumlah dadah yang dirampas, sindiket yang ditumpaskan dan aktiviti pengedaran yang berjaya dicegah, tetapi juga perlu dinilai secara seimbang melalui:
pengurangan bilangan golongan muda yang mula menggunakan dadah;
faktor perlindungan yang lebih kukuh dalam kalangan kanak-kanak dan remaja;
pengesanan lebih awal terhadap penggunaan bahan berisiko;
akses yang lebih luas kepada rawatan berasaskan bukti;
pengurangan kadar relaps dan komplikasi berkaitan dadah; dan
pengurangan yang boleh diukur dalam keseluruhan permintaan terhadap dadah terlarang.
Matlamat-matlamat ini bukan sahaja tidak bercanggah antara satu sama lain, malah merupakan indikator yang saling berkaitan dalam mengukur kemajuan negara kita. Malah, Dasar Dadah Negara secara jelas menggabungkan pengurangan bekalan dan pengurangan permintaan dadah dalam satu kerangka yang menyeluruh dan bersepadu.
Masa untuk bermuhasabah, bukan menuding jari
Insiden terkini yang melibatkan rakyat Malaysia di luar negara tidak seharusnya dijadikan ruang untuk menstigmakan rakyat Sabah, rakyat Malaysia, individu yang menggunakan dadah atau mana-mana profesion tertentu. Sebaliknya, insiden-insiden ini wajar menjadi pencetus kepada perbincangan nasional yang konstruktif dan berasaskan bukti.
Apabila pasaran dadah, bahan sintetik dan kaedah perekrutan oleh rangkaian jenayah terus berubah, sistem pencegahan, rawatan dan pemulihan kita juga perlu berkembang seiring dengan perubahan tersebut. Malaysia mempunyai agensi penguatkuasaan yang berkeupayaan tinggi serta para profesional yang komited dalam sektor penjagaan kesihatan dan komuniti. Jalan ke hadapan adalah dengan memperkukuh semua sektor ini secara bersama dan bersepadu.
Setiap individu yang berjaya dicegah daripada memulakan penggunaan dadah adalah satu kejayaan.
Setiap individu berisiko yang dikenal pasti lebih awal adalah satu kejayaan.
Setiap pesakit yang mendapat akses kepada rawatan yang berkesan adalah satu kejayaan.
Akhirnya, mengurangkan bekalan dadah dan mengurangkan permintaan terhadap dadah mempunyai objektif nasional yang sama—melindungi rakyat, memperkukuh komuniti dan membina Malaysia yang lebih selamat.
Pendekatan “total football” untuk membina daya tahan negara
Menangani masalah dadah negara memerlukan strategi bersepadu seperti konsep “total football”. Agensi penguatkuasaan kita bertindak sebagai pemain pertahanan dan penjaga gol, bekerja tanpa mengenal penat untuk menyekat ancaman yang datang serta mengurangkan bekalan dadah terlarang.
Dalam masa yang sama, para profesional pencegahan, anggota kesihatan, warga pendidikan serta petugas barisan hadapan lain dalam bidang pencegahan bertindak sebagai pemain tengah dan penyerang, menggerakkan usaha pengurangan permintaan dadah ke hadapan untuk ‘menjaringkan gol’, dengan menyelamatkan nyawa, merawat ketagihan dan melindungi masa depan generasi kita.
Sesebuah pasukan tidak mampu memenangi kejuaraan dengan hanya bertahan, kita juga perlu menjaringkan gol. Namun, koordinasi menyeluruh ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa visi dan strategi daripada ‘jurulatih’ kita, iaitu kerajaan dan pemegang taruh utama, serta sokongan padu dan berterusan daripada ‘penyokong’ kita, iaitu masyarakat. Kita hanya mampu mencapai sebuah negara yang berdaya tahan terhadap ancaman dadah sekiranya kita bermain sebagai satu pasukan”
Penulis ialah Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Profesional Ketagihan Bertauliah Antarabangsa & Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah serta Hospital Universiti Malaysia Sabah.
















