Masjid Muhammadiah (Cina Ipoh), Perak.

KUALA LUMPUR – Orang ramai daripada pelbagai latar belakang dan agama dijemput mengunjungi masjid terpilih di seluruh negara sepanjang September ini menerusi Mosque Open Day (MOD) 2026.

Inisiatif anjuran Islamic Tourism Centre (ITC) dengan kerjasama beberapa masjid di seluruh Malaysia itu membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali keindahan seni bina, warisan, budaya dan nilai hospitaliti Islam dalam suasana mesra serta inklusif.

Program berkenaan merupakan antara pengisian utama Islamic Tourism Month (ITM) 2026 yang bertujuan memperkenalkan masjid sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pelancongan mesra Muslim.

Selain berfungsi sebagai tempat ibadah, Mosque Open Day turut mengetengahkan peranan masjid sebagai pusat komuniti yang menghubungkan masyarakat menerusi budaya, warisan, seni bina dan nilai-nilai universal.

Program itu mengalu-alukan kehadiran pengunjung daripada pelbagai agama, latar belakang dan kewarganegaraan, selaras dengan komitmen Malaysia dalam mempromosikan pelancongan mesra Muslim yang inklusif.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang program termasuk berbasikal, pertandingan mewarna dan memasak, acara e-sukan untuk golongan belia, lawatan berpandu, sesi perkongsian ilmu serta aktiviti kemasyarakatan.

Acara berkenaan turut diserikan dengan pengisian budaya yang mengetengahkan nilai kebersamaan seperti layanan mesra, keharmonian dan saling menghormati.

Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata, Mosque Open Day bukan sekadar program lawatan ke masjid, sebaliknya menjadi platform untuk menggalakkan persefahaman antara budaya serta memperkenalkan keunikan warisan Islam Malaysia kepada masyarakat tempatan dan pelawat antarabangsa.

“Melalui Mosque Open Day, kami mahu menggalakkan orang ramai melihat masjid bukan sekadar sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai ruang yang mencerminkan sejarah, seni bina, budaya dan kehidupan komuniti Malaysia.

“Program ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali Islam serta nilai-nilai universal seperti hormat-menghormati, keramahan dan keharmonian dalam suasana yang terbuka dan inklusif,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif itu turut menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026-2027 dan agenda Malaysia Madani melalui pembangunan pelancongan mesra Muslim yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Katanya, ia juga membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengusaha pelancongan untuk memperluaskan keterlihatan produk dan perkhidmatan mereka.

Jadual Mosque Open Day 2026:

  • 10 hingga 12 September: Masjid Seberang Takir, Terengganu
  • 12 September: Masjid Al-Falah USJ 9, Selangor
  • 13 September: Masjid Sultan Idris Shah II, Perak
  • 18 September: Masjid Muhammadi, Kelantan
  • 26 September: Masjid Muhammadiah (Cina Ipoh), Perak

Mosque Open Day merupakan antara program utama di bawah Islamic Tourism Month (ITM) 2026 yang berlangsung sepanjang September dengan menghimpunkan pelbagai produk, perkhidmatan dan pengalaman pelancongan mesra Muslim dari seluruh negara.

Inisiatif itu juga menyokong usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim nombor satu dunia.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Mosque Open Day 2026, jadual program serta pelbagai tawaran sempena Islamic Tourism Month 2026 menerusi laman sesawang rasmi ITM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here