Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly (kiri) dan Presiden PPBS, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing (dua dari kanan) bersama dokumen perjanjian penyelidikan.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal melaksanakan kajian terhadap 1,000 pokok Bulatok (Paullinia cupana) dari pelbagai kawasan penanaman di seluruh Sabah bagi mengenal pasti kepelbagaian genetik, status kesihatan
tanaman serta faktor persekitaran yang mempengaruhi pertumbuhan dan produktivitinya.

Penyelidikan yang diterajui Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Bulatok Sabah (PPBS), khususnya dalam mengenal pasti lokasi dan komuniti penanam serta menyokong pengumpulan data dan pemindahan ilmu.

Kerjasama tersebut susulan pemeteraian dokumen perjanjian penyelidikan antara UMS dan PPBS sempena Majlis Perasmian Simposium Bioteknologi Antarabangsa Ke-9 (SB9) baru-baru ini.

Pengarah IPB UMS, Profesor Dr. Jualang @ Azlan Gansau berkata, kerjasama penyelidikan antara universiti, komuniti, industri serta agensi berkaitan penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Penyelidikan ini penting bagi memastikan ilmu dan kepakaran saintifik dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Pembangunan bidang agrobioteknologi di Sabah memerlukan lebih banyak kerjasama seperti ini.

“Sabah mempunyai kekayaan biodiversiti dan sumber biologi yang besar, tetapi potensi tersebut perlu disokong oleh penyelidikan saintifik, inovasi dan jaringan kerjasama yang kukuh,” katanya.

“Penyelidik akan mendokumentasikan lokasi penanaman menggunakan sistem GPS, menilai ciri morfologi dan variasi genetik tanaman, selain menjalankan pengesanan patogen menggunakan pendekatan molekul moden,” ujar beliau.

Penyelidikan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) IPB, Profesor Madya Ts. Dr. Wilson Yong Thau Lym itu dijangka menghasilkan dokumentasi saintifik pertama yang lebih menyeluruh mengenai taburan dan status
penanaman Bulatok di Sabah.

Selain itu, kajian tersebut turut membangunkan profil kepelbagaian genetik, status kesihatan tanaman serta inventori patogen yang berpotensi menjejaskan tanaman berkenaan.

Dapatan kajian dijangka menyediakan bukti saintifik bagi menyokong usaha pengiktirafan rasmi dan pengawalseliaan penanaman Bulatok, pembangunan amalan agronomi yang lebih mampan serta pembentukan rantaian nilai dan produk bernilai
tambah berasaskan sumber tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here