KUALA LUMPUR – UMNO Kedah mahu kerajaan memberi ganti rugi kepada kira-kira 40,000 pesawah dan petani yang didakwa terkesan akibat masalah dalam pengurusan sektor pertanian.
Pembahas ucapan dasar Presiden, Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, golongan itu tidak sepatutnya terus menanggung kerugian sedangkan hasil pertanian menjadi sumber pendapatan utama mereka.
“40,000 pesawah, petani yang sumber pendapatan depa bergantung kepada hasil pertanian.
”Macam mana depa nak dapat balik hasil? Hari ini, UMNO Kedah mencadangkan supaya 40,000 pesawah yang terkesan ini kita tuntut ganti rugi daripada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC di sini pagi ini.
Shaiful Hazizy berkata, masalah asas seperti kelewatan bekalan baja kepada pesawah perlu diberi keutamaan berbanding pengumuman mengenai teknologi atau kaedah baharu dalam sektor pertanian.
Beliau menyindir Menteri Pertanian yang menurutnya giat mempromosikan projek seperti penternakan ikan talapia dan teknologi menternak udang dalam sawah padi selepas lawatan ke luar negara.
“Macam mana nak tanam, nak apa, nak mencucuk tanam sawah padi kalau baja pun lambat sampai kepada pesawah dan juga petani?,” sindir beliau.
Menurutnya, kerajaan perlu memberi perhatian kepada masalah sebenar yang dihadapi pesawah dan petani di lapangan, khususnya apabila kelewatan input pertanian boleh memberi kesan terus kepada hasil serta pendapatan mereka.
Shaiful Hazizy turut mempersoalkan sikap beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Kedah yang menurutnya lantang mengkritik UMNO ketika isu RCI Tabung Haji, tetapi tidak kedengaran suara mereka apabila pesawah dan petani berdepan masalah.
“Apabila timbul RCI, depa gotong-royong menabur fitnah kepada rakyat. Hari ini saya nak tanya, apabila 40,000 pesawah terkesan, mana suara mereka? Mana perjuangan mereka?,” soalnya lagi.
Beliau berkata, pembelaan terhadap rakyat sepatutnya menjadi keutamaan mana-mana kerajaan dan tidak hanya muncul ketika berdepan isu politik.
Katanya, tuntutan ganti rugi kepada 40,000 pesawah dan petani yang terkesan wajar dipertimbangkan sebagai langkah memastikan nasib golongan yang bergantung kepada sektor pertanian tidak terus terjejas. – MalaysiaGazette
















