Bekas Menteri Besar Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO Terengganu tidak menganggap negeri itu sebagai ‘fixed-deposit’ Pas dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang dalam apa sahaja bentuk pertandingan, termasuk bertanding secara solo.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, keputusan akhir bagaimanapun perlu mengambil kira persefahaman antara UMNO dan Pas di peringkat pusat.

Beliau berkata, politik Terengganu tidak boleh dipandang mudah kerana pengundi di negeri itu mempunyai rekod membuat perubahan berdasarkan penilaian terhadap prestasi kerajaan.

“Saya yakin Terengganu bukan deposit tetap bagi Pas. Rakyat sudah sedar bahawa parti yang mempunyai pengalaman 80 tahun memerintah lebih tahu dan lebih berpengalaman,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026), di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Razif, tempoh dua penggal yang diberikan kepada sesuatu kerajaan membolehkan rakyat membuat penilaian dan menentukan sama ada mereka mahu mengekalkan atau melakukan perubahan.

Katanya, UMNO Terengganu bersedia dalam apa juga keadaan, sama ada melalui persefahaman, kerjasama atau pertandingan solo.

“Kalau bertanding solo pun kita bersedia. Tak ada masalah. Walaupun kalau melihat daripada angka, kita rasa mungkin tidak munasabah, tetapi politik sekarang ini unik.

“Hari ini kita kata begitu, esok belum tentu. Keputusan di peringkat negeri mungkin banyak memihak kepada kita tetapi keputusan di peringkat lebih besar tidak semestinya menyebelahi kita,” katanya.

Menurut Ahmad Razif, keunikan politik Terengganu boleh dilihat daripada pengundinya mampu berubah dan pada masa sama mampu mengubah landskap politik negeri.

“Jangan pandang mudah, jangan pandang remeh. Pengundi Terengganu sudah sedar dan faham tentang politik.

“Kalau ikut pengalaman dan sejarah yang lepas, pengundi Terengganu ini boleh berubah dan boleh mengubah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here