KUALA LUMPUR – UMNO tidak seharusnya menggadaikan maruah, prinsip dan jati diri semata-mata kerana berada dalam kerajaan, tegas wakil UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Ketua UMNO Bahagian Kepong itu berkata, parti mempunyai hak untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan politik negara, namun kerjasama berkenaan tidak bermakna suara UMNO perlu disenyapkan atau kepentingan ahlinya diketepikan.
Katanya, keputusan UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini mengundang pelbagai kecaman, termasuk tuduhan parti itu menjadi ‘kuda’ kepada musuh politik.
“UMNO mempunyai hak untuk bekerjasama dengan siapa sahaja. Tetapi dalam masa yang sama, kita tidak pernah kehilangan maruah, prinsip dan jati diri suara.
“Kerjasama bukan bermaksud kita tidak boleh bersuara. Berada dalam kerajaan bukan bermaksud kita menutup mata terhadap kesusahan ahli parti kita,” katanya ketika bahas Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini.
Menurutnya, perjanjian kerjasama politik yang dimeterai selepas PRU15 di peringkat Pusat juga hanya terpakai sehingga Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU16.
Dalam pada itu, Abdul Razak membidas persepsi yang timbul susulan tindakan penguatkuasaan berturut-turut terhadap pemimpin UMNO, yang menurutnya boleh menimbulkan persoalan terhadap keadilan dan profesionalisme institusi.
Beliau menegaskan UMNO tidak pernah menolak siasatan sekiranya terdapat kesalahan, namun tindakan penguatkuasaan mesti dibuat berdasarkan bukti, bukan dipengaruhi kepentingan politik.
“Jika ada kesalahan, siasat. Jika ada bukti, barulah dakwa. Dalam sebuah negara demokrasi ini, kita mesti berani mengatakan bahawa rakyat menghormati institusi.
“Mereka mesti yakin bahawa institusi itu adalah adil, profesional, telus dan bebas daripada campur tangan politik,” katanya.
Abdul Razak turut mempersoalkan tindakan terhadap pemimpin UMNO yang berlaku ketika parti sedang menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, tindakan penguatkuasaan yang berlaku secara berturut-turut terhadap kelompok pemimpin tertentu tidak dapat dielakkan daripada mencetuskan persepsi politik, termasuk dakwaan bahawa agensi penguatkuasaan dijadikan senjata untuk memburukkan UMNO.
“Apabila tindakan penguatkuasaan berlaku berturut-turut terhadap kelompok pemimpin tertentu, pastilah persepsi politik akan timbul,” katanya. – MalaysiaGazette
















