KUALA LUMPUR – UMNO perlu memastikan sebarang rundingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak menyebabkan parti itu kehilangan atau mengorbankan kedudukan sedia ada.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, rundingan dengan mana-mana pihak termasuk Pas boleh diteruskan, namun kepentingan, maruah dan prinsip parti perlu menjadi garis merah.
“Kalau kita sudah ada 21 kerusi, kekalkan 21. Kalau ada baki kerusi untuk dirunding, silakan berbincang sebaik-baiknya, tetapi jangan sampai merugi atau melemahkan parti,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.
Fariz berkata, teguran supaya rundingan politik di Melaka dilakukan secara berhati-hati perlu dilihat sebagai peringatan kepada kepimpinan negeri supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan momentum UMNO.
Katanya, sebarang rundingan perlu dilakukan dalam semangat mencari titik persamaan dan bukannya sehingga menyebabkan parti berpecah atau kehilangan kekuatan.
“Pengerusi Perhubungan (Melaka) sahaja yang perlu bulat. Semua kena bulat supaya kita pusing macam mana pun tidak pecah dan tidak keluar,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan setiap negeri mempunyai dinamika politik tersendiri.
Justeru, katanya, formula kerjasama UMNO-Pas perlu disesuaikan mengikut realiti politik setempat.
“Lain padang, lain belalang. Apa yang berlaku di Johor tidak semestinya sama di Melaka.
“Yang penting, kita berbincang dan mencari formula yang tidak menggadaikan prinsip serta nilai yang sudah ada pada parti,” katanya.
Fariz turut melihat Melaka sebagai antara medan penting untuk menguji sejauh mana keikhlasan rakan politik dalam menjayakan agenda penyatuan Melayu-Islam.
“Perlu ada persefahaman bersama. Kalau kita rasa Melaka ini adalah padang kita, berbincanglah sebaik-baiknya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















