KUALA LUMPUR – Menteri dan ahli Parlimen UMNO digesa perlu menyatakan pendirian jelas jika parti itu benar-benar merasakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) perlu diadakan lebih awal bagi mendapatkan mandat baharu.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Nabil Halimi berkata, jika UMNO mahu kekal bersama kerajaan, mereka sepatutnya memikul tanggungjawab itu sehingga tamat penggal mandat berkenaan.
“Jika UMNO memilih untuk berkerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), keputusan perlu dibuat segera dengan menyerahkan semula jawatan dalam kerajaan.
“Jangan sampai UMNO dilihat satu kaki dalam kerajaan, satu kaki dalam pembangkang di negeri berpelukan dengan PN, tetapi di Putrajaya masih mahu menikmati jawatan dan kedudukan dalam Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Nabil berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyuarakan pandangan mengenai keperluan mengadakan PRU16 lebih awal.
“Rakyat tidak sepatutnya dipeningkan dengan percaturan politik sebegini.
“Kerajaan Madani yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan-rakan lain akan terus menyempurnakan baki mandat penggal ini selagi mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” ujarnya.
Tambahnya, fokus utama kerajaan ketika ini adalah menggunakan masa yang ada untuk meneruskan agenda reformasi, memperkukuh ekonomi negara serta menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.
“Mandat rakyat bukanlah alat tawar-menawar politik.
“Biarlah rakyat membuat penilaian apabila tiba masanya pilihan raya kelak,” jelasnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid memberi Gambaran keperluan diadakan PRU16 diadakan lebih awal menerusi ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2026.
Beliau berkata, PRU16 perlu disegerakan kerana rakyat dikatakan semakin merindui kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Tambah Ahmad Zahid, perkembangan politik di Negeri Sembilan dan Johor memberi keyakinan sokongan terhadap BN masih mempunyai ruang untuk kembali mengukuh.
Lantaran itu, menurutnya sudah tiba masanya PRU16 perlu segera diadakan. – MalaysiaGazette
















