Bangunan Menara Tabung Haji.

SESIAPA sahaja yang mengikuti perkembangan landskap korporat awam negara pasti menyedari dinamika perbincangan di sekeliling dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020. Tanpa ingin berkemelut dengan persepsi dan sentimen sosio-politik yang melingkari isu tersebut, terdapat satu kebenaran objektif yang tidak boleh dikesampingkan: kes ini menyajikan subjek kajian (case study) yang amat berharga mengenai pengurusan risiko kewangan dan tadbir urus institusi. Kes ini membuktikan bahawa ‘kawasan kelabu’ (grey area) berkenaan kaedah audit dana awam memerlukan intervensi pengukuhan tatakelola yang lebih baik dan jelas.

Di dalam dunia korporat hari ini, amalan “perakaunan kreatif” (creative accounting)—seperti penyesuaian tempoh susut nilai atau penilaian semula aset—sering dianggap sebagai instrumen biasa bagi menguruskan turun naik prestasi pasaran semasa. Walau bagaimanapun, apabila kaedah yang sama diterapkan ke atas institusi awam atau badan berkanun yang memegang dana amanah masyarakat, implikasinya adalah jauh lebih meluas. Kelemahan meletakkan garis pemisah yang tegar antara strategi korporat yang agresif dan prinsip pengawasan yang konservatif boleh mendedahkan agensi kepada ketidakpadanan aset-liabiliti. Oleh itu, fokus utama negara masa kini harus ditumpukan sepenuhnya kepada usaha mempercepatkan langkah-langkah intervensi—merangkumi dasar yang telah dikuatkuasakan serta pembaharuan struktur yang SEYOGIA (sepatutnya) disegerakan.

Intervensi yang telah dilaksanakan: Mengukuh kawalan sedia ada

Sebagai langkah proaktif bagi memastikan piawaian tadbir urus dan kewangan di peringkat agensi diperketatkan secara menyeluruh, kerajaan persekutuan telah menguatkuasakan dua intervensi utama:

Penguatkuasaan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP) 2024: Di bawah Surat Pekeliling Am Bilangan 5 Tahun 2024 kerajaan telah mewajibkan pengukuhan peranan Unit Audit Dalam di semua BBP. Melalui ketetapan ini, setiap formula unjuran pelaburan, pengurusan kecairan tunai dan asas pengiraan dividen atau keuntungan tahunan wajib disaring secara berlapis di peringkat dalaman sebelum boleh dikemukakan kelulusannya kepada Lembaga Pengarah.

Peluasan kuasa pengauditan melalui Akta Audit (Pindaan) 2024: Melalui kelulusan Akta Audit (Pindaan) 2024 di Parlimen, Ketua Audit Negara (KAN) kini memiliki mandat yang diperluas di bawah pendekatan “Follow the Public Money”. KAN diberikan kuasa perundangan sepenuhnya untuk mengaudit mana-mana syarikat subsidiari, SBK atau entiti swasta yang menerima dana, geran atau jaminan kewangan daripada kerajaan. Langkah ini berupaya menyekat kecenderungan agensi daripada memindahkan pendedahan risiko kewangan ke dalam Penyata Kewangan anak syarikat.

Intervensi SEYOGIA: Agenda pembaikan mendesak (Important-Urgent)

Bagi melengkapkan ekosistem pengawasan dan memastikan tiada lagi ruang kelonggaran kaedah audit yang boleh dieksploitasi, tiga langkah intervensi struktur berikut sewajarnya dilaksanakan dengan kadar segera:

1. Menetapkan Sijil Audit Bersih Tanpa Isu Sistemik sebagai Prasyarat Pengumuman Keuntungan:Kerajaan seharusnya menyelaraskan undang-undang penubuhan semua badan berkanun bagi mewajibkan syarat bahawa sebarang kadar dividen, hibah atau bonus dilarang sama sekali diumumkan kepada umum selagi Penyata Kewangan beraudit belum dimuktamadkan sepenuhnya oleh Jabatan Audit Negara (JAN). Ketegasan ini penting bagi memastikan setiap agihan keuntungan yang dibuat benar-benar disokong oleh aliran tunai realistik, bukannya bersandarkan unjuran atas kertas yang belum disahkan.

2. Menghapuskan “Kawasan Kelabu” Polisi Kewangan Melalui Akta Syarikat Milik Kerajaan (SOE): Inisiatif Kementerian Kewangan (MoF) yang sedang merangka penggubalan Akta Syarikat Milik Kerajaan (SOE) yang mana keputusan dasarnya telah dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN), MoF seyogia memasukkan klausa ketat yang melarang sebarang pengubahan dasar rosot nilai secara arbitrari atau ad-hoc. Undang-undang payung nasional ini mesti menetapkan kod tatakelola kewangan yang seragam supaya ketelusan pelaporan tidak boleh dikompromi mengikut keselesaan pentadbiran semasa agensi.

3. Membangunkan Sistem Amaran Awal Tatakelola (JAN-SPRM): JAN bersama SPRM perlu mengintegrasikan analisis data audit forensik secara berkala. Sebaik sahaja instrumen pengauditan mengesan indikator risiko (red flags)—seperti transaksi pemindahan aset jangka pendek yang tidak munasabah atau kapitalisasi kos operasi harian menjadi kos modal (Capex)—intervensi pembaikan tatakelola mestilah digerakkan serta-merta sebelum ia berkembang menjadi krisis sistemik yang parah.

Kesimpulan

Menjadikan pengajaran struktur daripada kes TH sebagai panduan, fokus utama masa kini harus dialihkan daripada perdebatan politik kepada pembinaan institusi yang kalis masa hadapan. Badan berkanun dan SBK memikul tanggungjawab fidusiari yang unik; kegagalan mereka bukan sahaja membebankan kantung fiskal negara, malah menghakis keyakinan rakyat selaku pemilik dana. Melalui sinergi pemerkasaan institusi seperti JAN, penguatkuasaan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan 2024 serta penggubalan Akta SOE, Malaysia mampu membina model pengurusan agensi awam yang bertaraf dunia. Sudah tiba masanya kita bergerak melangkaui pergeseran naratif lama dan sebaliknya menumpukan sepenuh usaha untuk melahirkan ekosistem tadbir urus yang mampan, berintegriti serta sentiasa bersedia melindungi kemakmuran ekonomi negara.

Oleh: Mohd Gunawan Che Ab Aziz

Penulis ialah Timbalan Pengarah, Bahagian Perancangan Governans Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here