KULAI – Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah kereta yang cuba lolos daripada pemeriksaan di Jalan Kenari, Bandar Putra di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 1.20 pagi semalam ketika anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai sedang menjalankan rondaan.
Menurut beliau, pihak polis melihat kereta jenis Perodua Myvi tersebut yang dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki dan seorang wanita dalam kenderaan tersebut.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek telah bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal URB serta sebuah kenderaan awam jenis Mazda CX5, selain cuba melanggar anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu katanya, anggota URB melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek bagi mempertahankan diri dan memberhentikan kenderaan tersebut.
Bagaimanapun katanya, suspek berjaya melarikan diri.
Katanya, akibat kejadian itu, seorang anggota URB mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki selepas tersepit akibat motosikal URB yang dilanggar.

Jelasnya, pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian turut menemukan serpihan anak peluru dan serpihan kelongsong peluru.
“Dalam tempoh kurang 24 jam antara pukul lebih kurang 11.30 pagi hingga 8.30 malam, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai berjaya menahan sepasang lelaki dan perempuan masing-masing berumur 23 tahun di lokasi berasingan sekitar Bandar Putra, Kulai dan Kluang,” ujarnya.
Turut dirampas katanya, sebuah alat kawalan jauh dan sebuah Perodua Myvi berwarna hitam yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek warga tempatan tersebut didapati negatif dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau, katanya.
Tambahnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 307 dan 332 Kanun Keseksaan.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi permohonan reman.
“Pihak polis akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan selanjutnya akan diambil terhadap pihak yang terlibat berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















