KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 perlu menjadi titik mula kepada usaha mengembalikan kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata, semangat yang ditunjukkan perwakilan sepanjang PAU kali ini membuktikan akar umbi masih mempunyai keinginan kuat untuk melihat UMNO kembali memainkan peranan utama dalam politik negara.
Katanya, apa yang lebih penting selepas perhimpunan itu ialah memastikan semangat berkenaan diterjemahkan melalui gerak kerja di peringkat bahagian dan cawangan.
“Saya melihat PAU kali ini sebagai satu titik mula. Kita bukan datang sekadar untuk dengar ucapan, tepuk tangan dan balik.
“Kita datang dengan satu mesej bahawa UMNO masih ada kekuatan dan mahu bangkit semula. Selepas ini kita perlu buktikan perkara itu kepada rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebagai Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Mutalif berkata, parti perlu mengambil serius mesej Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu UMNO kembali menjadi parti dominan dalam landskap politik negara.
Menurutnya, sasaran itu tidak boleh hanya menjadi slogan kerana UMNO perlu melakukan persiapan lebih awal bagi menghadapi PRU-16.
“Kalau kita mahu kembali dominan, kita kena bekerja dari sekarang. Jangan tunggu pilihan raya diumumkan baru hendak bergerak. Jentera mesti bersedia, bahagian mesti bersedia dan pemimpin di semua peringkat mesti turun bertemu rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan UMNO selama ini terletak pada struktur organisasinya yang kukuh sehingga ke peringkat akar umbi, justeru kelebihan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, setiap bahagian perlu mengetahui kekuatan dan kelemahan masing-masing, termasuk mengenal pasti isu yang benar-benar dekat dengan kehidupan pengundi.
“Kita kena tahu apa masalah rakyat di kawasan kita. Isu mereka bukan semuanya isu politik. Ada soal kos sara hidup, pekerjaan, perumahan dan masa depan anak-anak. Kalau kita mahu rakyat kembali percaya, kita mesti berada bersama mereka dan bukan hanya muncul ketika pilihan raya,” katanya.
Mutalif berkata, UMNO juga perlu memastikan penyatuan dalam parti terus diperkukuh kerana perpecahan dalaman hanya akan melemahkan usaha untuk mengembalikan sokongan rakyat.
Menurutnya, perbezaan pandangan dalam parti adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk anggota UMNO terus berpecah.
“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi apabila keputusan sudah dibuat, kita mesti bergerak sebagai satu pasukan. Kalau kita sendiri tidak bersatu, sukar untuk kita yakinkan rakyat bahawa UMNO mampu memimpin,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, UMNO perlu mempunyai keberanian untuk membincangkan hala tuju politik parti secara terbuka, termasuk bentuk kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan memastikan kestabilan negara.
Bagaimanapun, katanya, sebarang kerjasama tidak boleh menyebabkan UMNO kehilangan identiti, prinsip dan perjuangan asalnya.
“Kerjasama politik boleh dibincangkan. Tetapi kita mesti tahu siapa kita dan apa yang kita perjuangkan. Identiti UMNO tidak boleh hilang hanya kerana kita bekerjasama dengan mana-mana pihak,” katanya.
Mutalif berkata, perkembangan politik semasa juga menunjukkan rakyat mahukan kestabilan dan kerajaan yang mempunyai mandat jelas.
Menurutnya, UMNO perlu membawa mesej bahawa perubahan politik mesti dilakukan melalui proses demokrasi dan pilihan raya, bukannya melalui percaturan untuk mendapatkan kuasa di luar mandat rakyat.
“Kita jangan ulang sejarah politik yang menyebabkan rakyat keliru. Kalau mahu menentukan siapa yang memimpin negara, biarlah rakyat membuat keputusan melalui pilihan raya. Itu mandat yang paling jelas,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu juga penting dalam memastikan UMNO dilihat sebagai parti yang matang dan bersedia menerima keputusan rakyat.
Katanya, UMNO tidak boleh menganggap kemenangan sebagai sesuatu yang sudah pasti, sebaliknya perlu bekerja keras untuk mendapatkan semula keyakinan pengundi.
“Kita tidak boleh rasa kita sudah kuat hanya kerana dewan PAU penuh dan perwakilan bersemangat. Itu baru permulaan. Ujian sebenar ialah apabila kita turun kepada rakyat dan rakyat berkata mereka mahu kembali memberikan kepercayaan kepada UMNO,” katanya.
Mutalif berkata, PAU 2026 seharusnya menjadi peringatan kepada seluruh anggota parti bahawa masa untuk memperkemas organisasi dan membina semula hubungan dengan rakyat ialah sekarang.
Menurutnya, UMNO mempunyai pengalaman, jaringan akar umbi dan kekuatan organisasi untuk kembali menjadi kuasa politik utama, tetapi semua itu perlu disertai kerja keras serta perubahan pendekatan.
“Kalau kita mahu bangkit, jangan hanya bercakap tentang kebangkitan. Kita kena bekerja untuk kebangkitan itu. Dari Presiden, kepimpinan negeri, bahagian sampai ke cawangan, semua mesti memainkan peranan,” katanya.
Beliau berkata, PRU-16 tidak seharusnya dilihat sebagai satu pilihan raya biasa kerana ia akan menjadi ujian kepada kemampuan UMNO membuktikan bahawa parti itu masih relevan dan mampu menawarkan kepimpinan yang diyakini rakyat.
“Bagi saya, PAU 2026 bukan penamat. Ini permulaan. Sekarang kita balik ke kawasan masing-masing dan buktikan kepada rakyat bahawa UMNO benar-benar sudah bersedia untuk bangkit,” katanya. – MalaysiaGazette
















