Kembar empat- Amir Muttaqin, Aniq Muttaqin, Abid Muttaqin dan Adib Muttaqin Md Khairuddin yang sama-sama meneruskan pengajian di UTHM.

 

BATU PAHAT – Empat beradik kembar dari Kelantan, Amir Muttaqin, Aniq Muttaqin, Abid Muttaqin dan Adib Muttaqin Md Khairuddin, mencuri perhatian apabila mendaftar sebagai mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Keempat-empat mereka yang berusia 23 tahun memilih program yang sama, iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah dengan Kepujian di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), UTHM.

Menurut mereka, keputusan memilih bidang tersebut dibuat kerana masing-masing telah memiliki Sijil Penilaian Harta Tanah daripada Institut Penilaian Negara (INSPEN) dan sememangnya berhasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang pengurusan hartanah di peringkat ijazah.

Bagi keempat-empat beradik itu, peluang menyambung pengajian di UTHM mencetuskan perasaan gembira dan teruja kerana berjaya melangkah ke peringkat pengajian tinggi.

Namun menurut Abid Muttaqin, pengalaman pertama bergelar mahasiswa turut diselubungi rasa debar kerana perlu meninggalkan keluarga dan berhijrah jauh dari Kelantan.

“Seronok kerana berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda, tetapi ada juga rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga.

Pada masa yang sama, sedikit mendebarkan kerana ini merupakan pengalaman pertama kami masuk universiti dan perlu datang jauh dari Kelantan,” katanya.

Tambah Abid Muttaqin, belajar dan menjalani kehidupan sebagai kembar empat di UTHM memberikan kelebihan tersendiri, khususnya dalam aspek pembelajaran dan kehidupan seharian.

“Antara manfaatnya ialah kami mudah belajar dan mengulang kaji bersama serta boleh saling mengingatkan untuk hadir ke kelas, menyiapkan tugasan dan membantu antara satu sama lain ketika berada di kolej,” katanya.

Sementara itu, ibu mereka, Rusmaizuati Mukhatar berkata cabaran terbesar membesarkan empat anak yang sebaya adalah dari segi kewangan kerana hampir setiap keperluan perlu disediakan dalam jumlah berganda.

Menurutnya, cabaran tersebut telah bermula sejak mereka masih bayi, termasuk perbelanjaan susu dan lampin, sebelum berterusan apabila mereka meningkat remaja dan seterusnya melanjutkan pengajian ke universiti.

“Cabaran utama dan terbesar sebenarnya adalah kewangan kerana semuanya berlaku serentak dan perlu ditanggung empat kali ganda.

“Paling terasa apabila mereka masuk universiti kerana kos yuran sahaja mencecah sekitar RM10,000 untuk keempat-empat mereka, tidak termasuk keperluan lain, namun syukur Tuhan sentiasa mencukupkan rezeki anak-anak,” katanya.

Dalam memastikan keempat-empat anaknya terus bersemangat dalam pelajaran, Rusmaizuati berkata, beliau dan suami, Md Khairuddin Musa sentiasa memberikan dorongan serta kata-kata semangat selain menggalakkan mereka belajar dan mengulang kaji bersama.

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila keempat-empat mereka memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang membanggakan, dengan dua daripadanya memperoleh 7A manakala dua lagi memperoleh 6A.

“Sebagai ibu bapa, kami sentiasa memberikan dorongan serta kata-kata semangat dan kami juga berpesan supaya mereka belajar dan mengulang kaji bersama-sama.

“Harapan kami agar anak-anak kembar empat ini dapat meneruskan kecemerlangan di peringkat ijazah, menyesuaikan diri dengan kehidupan di UTHM, belajar bersungguh-sungguh serta sentiasa berakhlak mulia, cemerlang dalam akademik dan kokurikulum serta menjaga nama baik keluarga,” katanya.

Beliau turut berharap keempat-empat anaknya dapat membina masa depan yang cerah selepas tamat pengajian, memperoleh pekerjaan yang stabil, mampu berdikari dan pada masa sama dapat berbakti kepada masyarakat.

Sementara itu, keempat-empat beradik tersebut berharap kehidupan mereka di UTHM bukan sahaja menjadi medan untuk mencapai kecemerlangan akademik, malah dapat membentuk sahsiah dan disiplin diri yang lebih baik.

“Harapan kami tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memakbulkan impian ibu dan ayah dengan memperoleh keputusan yang cemerlang dalam bidang yang kami ceburi.

“Kami juga mahu meningkatkan nilai sahsiah dan disiplin diri sepanjang berada di UTHM,” kata Abid Muttaqin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here