GEORGE TOWN – Persediaan Belanjawan 2027 kini memasuki fasa akhir, dengan sesi libat urus Kementerian Kewangan (MOF) di seluruh negara akan selesai tidak lama lagi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sesi libat urus itu penting bagi memastikan Belanjawan 2027 mengambil kira pandangan dan keperluan industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat.
Katanya, cadangan yang dikumpulkan menerusi sesi berkenaan akan dinilai untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027, manakala cadangan yang memerlukan penelitian lanjut akan dikaji bersama kementerian dan agensi berkaitan.
“Kita mahu menerima cadangan daripada sektor yang terkesan. Daripada situ, kita boleh lihat apa yang boleh kita ambil sebagai kerajaan.
“Sebahagiannya akan dimasukkan dalam belanjawan, manakala yang lain akan dikaji bersama kementerian dan agensi untuk melihat bagaimana kita boleh memperkukuh keupayaan menyokong sektor berkenaan pada masa depan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al-Mashoor (SMKA (P) Al-Mashoor), yang menjadi antara sekolah angkat Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI yang dilaksanakan melalui Yayasan TM (YTM).
Untuk rekod, menerusi inisiatif itu, seramai 100 pelajar sekolah tersebut mengikuti latihan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan kemahiran digital di bersama-sama lima guru.

Menerusi inisiatif itu, sekolah berkenaan dilengkapi dengan hab digital TM Future Skill (TMFS) merangkumi 10 buah komputer riba berprestasi tinggi, kit STEM, dron dan pencetak tiga dimensi (3D) bagi menyokong pembelajaran.
Amir Hamzah berkata, sesi libat urus Belanjawan berkenaan membawanya ke beberapa lokasi di seluruh negara, sekali gus membolehkan kerajaan memahami dengan lebih baik industri yang penting kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
Katanya, sesi berkenaan bermula di Tawau, Sabah dengan tumpuan kepada Ekonomi Biru sebelum diteruskan di Perak menerusi lawatan ke projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim bagi melihat perkembangan sektor automotif.
“Pulau Pinang juga merupakan antara lokasi penting kerana kedudukannya sebagai hab utama industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
“Kita juga akan ke Kulim untuk berinteraksi dengan pemain industri automotif dan bertemu wakil sektor peranti perubatan,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia antara negara yang mempunyai perkembangan ketara dalam sektor peranti perubatan dengan menghasilkan peralatan termasuk kateter dan perentak jantung untuk dieksport ke luar negara.
“Ini antara sektor yang mempunyai impak ekonomi tinggi dan potensi kukuh untuk mewujudkan pekerjaan yang lebih berkualiti di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, pandangan yang diperoleh menerusi kumpulan fokus Belanjawan turut membantu meningkatkan kualiti belanjawan negara.
“Kumpulan fokus yang kita adakan untuk belanjawan banyak membantu meningkatkan kualitinya,” katanya. – MalaysiaGazette
















