KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memperkukuh tindakan terhadap laporan dibuat mangsa keganasan rumah tangga susulan pendedahan 4,646 kes yang direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Julai 2026.
Penolong Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan (Gerakan) Melaka, Shereen Lee Soot Yin berkata, jumlah itu menunjukkan keganasan rumah tangga kekal sebagai masalah sosial dan keselamatan serius serta memerlukan tindakan lebih menyeluruh, bukan sekadar kempen kesedaran dan penyediaan saluran aduan.
Menurutnya, usaha kerajaan melalui inisiatif PRISMAnita (Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita) bagi menghubungkan wanita dengan perkhidmatan kerajaan serta agensi berkaitan adalah dialu-alukan.
Bagaimanapun, katanya, sehingga Ogos lalu, PRISMAnita dilaporkan hanya memberikan perkhidmatan kepada 117 klien di seluruh negara.
“Ini membuktikan bahawa perkhidmatan sedia ada tidak sampai kepada mangsa dengan cukup pantas. Perhatian kerajaan tidak boleh hanya tertumpu kepada menggalakkan mangsa tampil membuat laporan. Persoalan lebih penting ialah apa yang berlaku selepas laporan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Soot Yin berkata, mangsa yang bergantung daripada segi kewangan kepada pendera mempunyai anak kecil atau bimbang terhadap tindakan balas perlu mendapat akses segera kepada perlindungan, tempat perlindungan sementara, bantuan perundangan, kaunseling dan bantuan kewangan jika diperlukan.
Jelasnya, keganasan rumah tangga juga bukan hanya melibatkan penderaan fizikal sebaliknya boleh merangkumi penderaan emosi, psikologi, seksual dan kewangan serta kawalan atau gangguan melalui ruang digital.
“Pengesanan risiko dan intervensi awal amat penting supaya tingkah laku mengawal, mengugut atau mendera dapat ditangani sebelum keadaan menjadi lebih serius dan mengancam keselamatan mangsa,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Gerakan menggesa kerajaan memperluaskan akses kepada tempat perlindungan sementara dan bantuan kewangan kecemasan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya bagi mangsa yang sukar meninggalkan pendera akibat kekangan tempat tinggal, penjagaan anak atau kebergantungan kewangan.
Selain itu, kerajaan disaran menetapkan standard tempoh tindak balas yang jelas antara Talian Kasih, Polis Diraja Malaysia (PDRM), hospital, pegawai kebajikan dan agensi berkaitan bagi kes berisiko tinggi.

Langkah itu penting bagi memastikan mangsa yang memerlukan perlindungan segera tidak perlu melalui proses rujukan berulang antara agensi.
Tambah beliau, Gerakan turut mencadangkan mekanisme penilaian risiko yang lebih tersusun bagi setiap kes yang dilaporkan bagi mengenal pasti mangsa berisiko tinggi mengalami penderaan berulang atau keganasan yang semakin serius.
Pada masa sama, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat digesa memperkukuh pemantauan serta tindakan susulan terhadap pengendalian kes keganasan rumah tangga termasuk proses rujukan, perlindungan mangsa, kes berulang dan keberkesanan inisiatif seperti PRISMAnita.
“Setiap mangsa yang berani tampil mendapatkan bantuan mesti yakin bahawa laporan mereka akan disusuli dengan tindakan yang pantas dan perlindungan yang berkesan.
“Kerajaan hanya boleh berjaya menangani keganasan rumah tangga dengan memastikan mangsa dapat dilindungi dengan cepat dan dicegah daripada menjadi mangsa penderaan berulang,” katanya. – MalaysiaGazette
















