Suasana orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir kepada pelajar tingkatan empat, Yap Shing Xuen yang maut ditikam ketika di Nirvana Centre, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR –  Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini terhadap remaja yang didakwa membunuh Yap Shing Xuen, 16, tidak memadamkan luka kehilangan mangsa malah menguatkan tekad keluarganya untuk terus menuntut keadilan.

Ibu mangsa, Wong Lee Ping berkata, pemergian anaknya meninggalkan kesan yang tidak mungkin terhapus meskipun masa sudah berlalu.

Shing Xuen, ujarnya, baru sahaja memulakan kehidupan dan masih mempunyai begitu banyak impian yang belum sempat dicapai.

“Dia masih mempunyai begitu banyak impian, begitu banyak perkara yang mahu dilakukan, begitu banyak tempat yang belum pernah dikunjunginya dan begitu banyak masa depan yang tidak sempat dilaluinya,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Bagi Lee Ping, perkara paling sukar untuk diterima bukan kehilangan hadiah atau barangan yang pernah diberikan anaknya sebaliknya kenangan yang dahulu dianggap perkara biasa.

Shing Xuen disifatkan sebagai anak yang berdisiplin, prihatin dan rajin serta sentiasa mengingati hari lahir ibunya dan Hari Ibu.

Malah dia sanggup menyimpan wang saku dan duit angpau Tahun Baharu Cina untuk membeli hadiah buat ibunya selain adakala menyediakan kek secara senyap-senyap.

“Perkara yang paling sukar bagi seorang ibu untuk dilepaskan bukanlah hadiah mahal yang pernah diberikan anak. Tetapi saat-saat biasa yang dahulu kita anggap remeh namun kini tidak akan pernah berlaku lagi,” luahnya.

Mengimbau kehidupan selepas pemergian Shing Xuen, Wong memberitahu,  beliau terus bekerja dan menjalani rutin harian seperti biasa sepanjang setahun lalu.

Namun kehidupan tidak lagi sama kerana ada sebahagian penting daripada dirinya yang dirasakan hilang buat selama-lamanya.

“Sesetengah ‘kesakitan’ tidak hilang dengan masa. Kita cuma belajar, sedikit demi sedikit untuk terus hidup sambil membawa ‘kesakitan’ itu bersama,” ujarnya.

Lee Ping turut menegaskan, kasih sayangnya terhadap Shing Xuen tidak pernah berakhir dan beliau tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan buat anaknya.

“Kamu tidak akan pernah hilang daripada hidup ibu. Sejak hari itu, ibu hanya mampu menyayangimu dengan cara yang berbeza. Anakku yang tersayang, ibu rindukan kamu,” luahnya.

Dalam keputusan hari ini, Hakim Datuk Adlin Abdul Majid memutuskan tertuduh yang kini berusia 15 tahun tidak bersalah selepas mendapati dia tidak sempurna akal ketika kejadian.

Peguam, Kitson Foong mewakili remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama Petaling Jaya tahun lalu bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Shah Alam. Foto AIMAN RIZAL, 14 SEPTEMBER 2026.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh ditahan dan menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak atas perkenan Sultan Selangor.

Tertuduh sebelum ini didakwa membunuh Shing Xuen di tandas perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4), Bandar Utama, Petaling Jaya antara pukul 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu.

Bagi Lee Ping, keputusan mahkamah itu tidak akan mengubah tempat Shing Xuen dalam hidupnya malah kerinduan terhadap anaknya akan terus menjadi sebahagian daripada kehidupannya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Remaja 15 tahun bebas tuduhan bunuh rakan sekolah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here