Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori Largest Participation in An Agentic AI Competition di Selangor International Trade Centre, Shah Alam. Foto AIMAN RIZAL, 14 SEPTEMBER 2026.

SHAH ALAM – Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) perlu menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai budaya di kampus bukan sekadar teknologi untuk memenuhi tuntutan semasa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kepimpinan institusi perlu menjadi pemacu perubahan dengan membuka ruang kepada warga dan pelajar mengadaptasi teknologi baharu termasuk AI ejen (Agentic AI).

Pendekatan itu penting bagi memastikan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kekal relevan, selain melahirkan graduan yang bersedia menghadapi tuntutan dunia pekerjaan masa hadapan.

“Saya ingin menyeru agar kepimpinan di setiap institusi POLYCC sentiasa cakna dalam membentuk budaya AI di kampus. Budaya AI bukan sekadar penggunaan aplikasi tetapi bagaimana teknologi dimanfaatkan untuk mewujudkan cara kerja yang lebih cekap, pantas dan berkesan.

“Kepimpinan institusi perlu menjadi pemacu perubahan ini serta memberi ruang kepada warga dan pelajar untuk mengadaptasi teknologi baharu seperti Agentic AI,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah pada Majlis Pelancaran Pertandingan POLYCC Agentic AI League 2026 Grand Finale dan Pelancaran POLYCC AI Buddy di sini hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah berucap ketika hadir bagi mewakili Menteri Pendidikan Tinggi bagi menyempurnakan program POLYCC Agentic AI League 2026 di Selangor International Trade Centre, Shah Alam. Foto AIMAN RIZAL, 14 SEPTEMBER 2026.

Zambry berkata, POLYCC tidak boleh kekal sebagai pengguna teknologi semata-mata sebaliknya perlu berupaya meneroka, mengadaptasi dan memanfaatkannya bagi memperkukuh proses pembelajaran.

Keupayaan itu penting bagi memastikan graduan POLYCC bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan yang semakin dipengaruhi teknologi AI.

“Usaha ini selari dengan agenda POLYCC sebagai institusi Pendidikan Profesional dan Teknikal (PTE) yang sentiasa relevan dengan perubahan semasa.

“Saya melihat POLYCC bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi institusi yang mampu meneroka, mengadaptasi dan memanfaatkannya bagi memperkukuh pembelajaran serta melahirkan graduan yang bersedia menghadapi dunia pekerjaan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan agenda AI tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program, pertandingan atau teknologi yang diperkenalkan semata-mata tetapi sejauh mana penerapannya memberi impak terhadap kualiti pembelajaran dan kebolehpasaran graduan.

Justeru inisiatif penerapan AI perlu diteruskan secara konsisten supaya berkembang menjadi amalan dan budaya dalam ekosistem POLYCC.

“Kita mahu institusi TVET kita sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, malah berani berada di hadapan perubahan itu. Jika hari ini kita belajar menggunakan AI, esok kita perlu mampu mencipta nilai melalui AI,” katanya.

Zambry berkata, keberanian untuk berubah, kesediaan mempelajari teknologi baharu dan semangat meneroka menjadi asas penting dalam membentuk generasi yang bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan masa hadapan malah berupaya mencorakkannya.

Sebagai rekod, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) terus memperkukuh pembangunan bakat AI dalam pendidikan TVET menerusi POLYCC Agentic AI League 2026 yang menghimpunkan 3,118 pelajar dan pensyarah dari seluruh institusi POLYCC.

Penganjuran yang berlangsung dari Julai hingga 31 Ogos lalu turut mencipta pencapaian baharu apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori The Largest Participation in an Agentic AI Competition.

Pertandingan berasaskan gamifikasi itu mengetengahkan Agentic AI iaitu generasi baharu AI yang berupaya merancang, membuat keputusan dan melaksanakan tindakan secara autonomi bagi menyelesaikan tugasan dalam cabaran dunia sebenar.

Kemuncak pertandingan itu menyaksikan enam kumpulan terbaik berentap pada POLYCC Agentic AI League Grand Finale 2026 bagi merebut gelaran juara.

Pada majlis sama, Shamsuri turut melancarkan POLYCC AI Buddy, platform pembantu AI khusus bagi membantu pensyarah POLYCC menghasilkan bahan pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran dengan lebih mudah dan pantas tanpa memerlukan pembinaan arahan (prompt) yang kompleks.
– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here