KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan nombor pendaftaran kenderaan istimewa siri H sempena sambutan Hari Malaysia dengan bidaan bagi nombor 1 hingga 9999 dibuka mulai Rabu ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, bidaan siri berkenaan dibuka selama lima hari bermula 16 hingga 20 September ini menerusi aplikasi JPJeBid.
Menurut beliau, keputusan bidaan akan diumumkan pada 21 September ini.
Katanya, siri H mempunyai nilai istimewa kerana melambangkan keharmonian sempena sambutan Hari Malaysia selain menjadi huruf tunggal terakhir yang akan ditawarkan oleh JPJ.
“Nombor ini sangat istimewa dan orang ramai digesa mengambil peluang ini untuk mendapatkan nombor ini kerana selepas ini tiada lagi huruf tunggal akan ditawarkan oleh JPJ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran nombor pendaftaran siri berkenaan di Presint Merdeka 118 di sini malam ini.

Dalam pada itu, Aedy Fadly menjelaskan, huruf H bagi siri berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan huruf pendaftaran teksi.
Katanya, pendaftaran teksi menggunakan huruf H yang perlu diiringi huruf pendaftaran negeri.
“Sebagai contoh, teksi di Perak didaftarkan dengan huruf HA kerana A merupakan huruf pendaftaran negeri berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















